Tuesday, October 29, 2013

Facebook dan YouTube Antara Punca Penyakit Mental?

Mentari pagi menyinar indah, beburung berkicauan, bayu sepoi-sepoi bahasa menyelinap masuk menerusi tingkap rumah yang terbuka luas. Tambahan pula hari ini hari libur. Sepinggan nasi lemak yang dimasaknya awal pagi tadi dan secawan teh hijau panas kurang gula telah terhidang di atas meja.

“Sambil-sambil sarap best juga kalau berInternet ni,” getus hatinya seolah-olah melayari Internet itu perkara yang jarang dilakukannya. Laptop dibuka dan diletakkan di hadapan sepinggan nasi lemak. Cawan teh dialihkan ke meja lain, bimbang akan tumpah ke laptop yang disayangi hampir-hampir seperti keluarga sendiri.

“Mari kita mulakan hari ini dengan video inspirasi, oh yeah.” Pantas jejarinya mengetik kata kunci: ‘inspirational stories’ di ruang carian YouTube. Dari senarai yang dipulangkan oleh YouTube, dia mengklik satu video yang memaparkan slide show tentang menghargai setiap apa yang dimiliki tanpa perlu iri pada orang lain. Usai menonton, hatinya rasa lapang. Namun tangannya gatal untuk scroll ke ruangan komen.

Di celah-celah komen yang majoritinya berbunyi, “Nice video!” “Keep it up!” “This brings tear to my eyes”, satu komen bernada superior menyelit, “The word greatful is wrong! It should be spelled grateful instade” diiringi sejumlah thumbs down.

“Kamu pun salah eja instead! Apakah? Yang salah juga dicari. Betulkan salah sendiri dahulu!” balas seorang yang lain, dan komennya mendapat banyak thumbs up.

Kemudian matanya tertancap kepada komen yang berbunyi, “Jikalau benar Tuhan ada, kenapa tidak dijadikan kita semua ini bernasib sama sahaja? Maka tidak timbul soal iri dan sebagainya?” Jumlah thumbs down menyaingi jumlah thumbs up. Juga mendapat banyak balasan menentang mahupun menyokong.

Komen yang menentang ada bernada mesra, “saudara, bacalah kitab Al-Quran. Pasti anda ketemu jawapannya. Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui”.

Namun ada juga yang keras membangkang, “wahai ateis yang ce****, $#@^! Kamu pasti akan ke neraka! Allahu Akbar!” Komen sebegitu mudah sahaja mengundang isu baru pula, “inilah islam yang kamu katakan aman damai itu ya. Memang muslim itu pengganas tetapi kamu masih berdolak dalik! Apa kamu fikir kami yang bukan muslim ini tidak bermoral?” Diikuti banyak lagi komen yang senada mengecam Islam sebagai agama keganasan.

Dia terasa menyesal kerana membaca komen-komen yang akhirnya menggugat kelapangan hatinya tadi. Nasi lemak terus disuap hingga habis untuk meredakan emosi. Geram sungguh dia hendak turut serta dalam pergaduhan perbincangan maya itu. Alhamdulillah dia telah lama bersara dari menjadi pahlawan papan kekunci, maka dia membiarkan laptop dalam standby mode.

Pinggan yang telah kosong dibawa ke singki dan dibasuh. Kemudian dia mencicipi teh hijau yang masih berbaki.

“Sambil-sambil minum apa kata berfacebook. Boleh juga menambah ilmu dengan perkongsian baik-baik,” bicaranya seumpama memujuk hati. Tidak serik dengan apa yang berlaku tadi. Apa yang hendak dibimbangkan, fikirnya. Dia telah lama meng-unfriend atau menyembunyikan newsfeed kenalan dan teman yang berbaur negatif. Laptop dihidupkan semula. Laman facebook mengisi ruang skrin laptop.

Silih berganti ayat-ayat Quran dan hadis serta kata motivasi menjadi isi status teman-teman dan laman yang dilangganinya.

“Sungguh terinspirasi rasanya diri ini,” dia tersenyum. Langsung lupa pada artikel dan journal akademik yang harus diladeninya.

Laman seorang tokoh motivasi yang dilangganinya memaparkan gambar beliau bersama isteri dan anak-anak. Mendapat 2000+ likes. Apabila gambar diklik, automatik senarai komen muncul di sudut bawah kanan.

“Semoga berbahagia hingga ke jannah,” komen sejumlah pengunjung dengan sopan.

“Cantik isteri tuan,” komen terlebih peramah.

Namun disangka panas hingga ke petang, hujan pula pada tengahari. Tiada rebut tiada petir tiba-tiba ia melanda.

“Wajah anak lelaki tuan tidak sama dengan rupa tuan dan isteri,” tanpa berbasa-basi terus sahaja seorang mengulas. Mungkin dia tersalah anggap ini laman biologi dan genetik atau reproduksi.

“Kenapa tuan memakai seluar jeans? Sebagai seorang tokoh motivasi Muslim tuan seharusnya tahu kita tidak boleh menyerupai kaum Yahudi dan Nasrani. Haram hukumnya memakai seluar jeans”. Dia seakan terdengar-dengar nada kemarahan yang memberi komen.

Komen itu mendapat balasan yang banyak dari pengunjung lain. Salah satunya tidak dapat dikategorikan adakah ia meredakan atau memburukkan keadaan, “Jangan begitu syadid. Bagi saya yang kita perlu tegur ialah cara pakaian isterinya yang masih tidak sempurna menutup aurat.”

“Jangan mengkritik soal berpakaian. Ia soal peribadi,” seorang memberikan pendapat.

“Soal halal haram bukan soal peribadi. Inilah akibat sistem pemerintahan tidak berlandaskan Islam.”

“Inilah orang parti ***. Mudah menghukum orang berdosa."

“Kenapa hal politik hendak dicampuradukkan pula. Tuan XYZ cuma ingin berkongsi gambar keluarga dengan kita.”

“Ya…. itu dia macai parti **** sudah datang!”
…….

Fullstop. Noktah. Dia mematikan laptopnya kali ini. Teh hijau diteguk hingga tidak berbaki di dalam cawan. Kepalanya rasa berat seumpama memikirkan masalah negara. Cawan kosong diletakkan di bawah tudung saji, mungkin akan digunakan lagi. Kemudian menuju ke bilik mengambil the Ultimate Book, the Supreme Good Tube dan menemukan ayat:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."
Quran 16:125

Thursday, October 10, 2013