Ketika usia 9 tahun, saya sangat tertarik dengan filem The Sound of Music, kisah seorang bakal rahib bernama Maria yang asalnya ingin mengabdikan cinta kepada Tuhan dan memilih untuk tidak berkahwin namun akhirnya jatuh cinta dengan seorang duda apabila Maria ditugaskan mengasuh anak-anaknya. Entri ini bukan tentang ulasan filem, tetapi filem itu telah mencetuskan rasa minat dan kagum saya terhadap idea membujang seumur hidup kerana Tuhan. Dalam usia yang masih mentah, saya telah membuat anggapan tiada cinta yang lebih tulus dan agung berbanding mengenepikan nafsu ingin berpasangan semata-mata untuk menggapai cintaNya.
Alhamdulillah, didikan agama yang diberikan kepada saya pada tahun-tahun seterusnya menyedarkan saya membujang itu bertentangan dengan fitrah manusia. Tidaklah Allah menjadikan ciptaanNya berpasang-pasangan tanpa sebab, saya yakini itu. Namun saya juga didedahkan dengan kisah wanita bernama Rabiah Al-Adawiyah yang turut memilih untuk tidak bernikah meski dilamar oleh lelaki-lelaki soleh lantaran mabuk cintanya berlimpah ruah hanya untuk Maha Pencipta.
Puisi dan syair nukilan Rabiah dalam meluahkan rasa cintaNya yang tidak bertepi kepada Allah menggetarkan hati saya saat membaca seperti salah satunya yang saya petik di bawah:
Let me hide in You
From everything that distracts me from You,
From everything that comes in my way
When I want to run to You.
Dan juga seperti yang dilagukan begitu indah sekali oleh seorang munsyid dari Kuwait, Othman Arrashidi:
Dalam tahun lepas juga saya tertarik dengan satu entri sahabat saya ini tentang alim-ulama yang tidak bernikah, salah satunya Imam Nawawi yang mana hidup mereka diabadikan dengan mencari dan mencurah ilmu demi keredhaan Ilahi.
Kecintaan mereka yang tidak berbelah bahagi ini tidak mungkin dapat disamakan dengan pembujangan rahib. Pertama, rahib Kristian menanggapi Nabi Isa sebagai anak Tuhan namun turut bersifat manusia. Malah saya pernah menonton temuramah Oprah Winfrey dengan para rahib yang mengatakan pakaian rahib itu umpama pakaian perkahwinan mereka dengan Jesus. Mereka menolak sebarang perkongsian hidup dengan manusia demi ingin ‘bernikah’ dengan Jesus. Ternyata cinta mereka kepada Jesus itu masih ada unsur-unsur percintaan manusia.
Sedangkan cinta Rabiah dan alim-ulama yang membujang itu jauh melangkaui cinta manusia yang masih berlandaskan rasa ingin dibelai dengan kasih sayang bersifat manusiawi. Tidak dapat tidak, hati saya sekali lagi bergetar memikirkan betapa agungnya cinta sedemikian. Cinta yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, cinta yang membutakan mata pada indahnya roman wajah, manisnya senyuman, ataupun redup pandangan mata. Cinta yang ingin mengenali dan menikmati sifat-sifat Allah, Maha Penyayang, Maha Perkasa, Maha Cantik, Maha Segala-galanya Subhanallah. Perkataan indah serasa amat lemah untuk menggambarkan cinta sebegitu. Maka berkhayallah saya untuk mendapatkan cinta seumpamanya.
Usah salah faham, entri ini bukan bertujuan menggalakkan pembujangan. Saya tidak menolak pernikahan, bukankah ia sunnah rasul S.A.W. junjungan kesayangan kita? Lalu, kenapa saya belum menikah? Kerana saya dan belahan hati saya belum ketemu masing-masing. Saya ingat benar kata-kata seorang sahabat, andai bukan di dunia insya Allah di akhirat. Namun seharusnya saya lebih bimbangkan di manakah tempat saya di akhirat kelak. Di bawah naungan redha Allah atau murkanya, nauzubillah. Beginilah, pokok cerita saya mudah sahaja, jika anda sudah menikah, hargailah pernikahan itu namun bukan untuk diagung dan dibanggakan dan diletakkan pergantungan sepenuh hati kerana suami/isteri dan anak-anak cumalah medium menggapai cintaNya. Jika anda belum ketemu belahan hati, usah berduka. Benar, mungkin kita tidak mampu jadi Imam Nawawi atau Rabiah. Pun, tentunya lebih manis jika berusaha menemukan cinta indah melangkaui batas manusiawi, mendampingi hangatnya kasih Allah yang Maha Lembut dan Maha Agung insya Allah.