Apa definisi Islamik?
Definisi mudah
dan tipikal: bertudung labuh, berjubah, berserban, solat berjemaah di masjid,
ucapan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir, jaga ikhtilat, lagu-lagu dakwah,
menyokong perlaksanaan undang-undang syariah dan pelbagai lagi yang anda boleh
tambah sendiri. Tetapi saya boleh rumuskan, definisi yang selalu dipakai
kebanyakan orang ialah berbentuk luaran.
Oleh sebab kita
banyak fokus pada luaran, maka timbullah isu berhijab tapi mengumpat dan
mengutuk orang. Rajin ke masjid tetapi mendera isteri. Kuat bertahajjud tetapi
memainkan perasaan anak dara orang. Suka dengar ceramah agama tetapi suka curi
tulang. Dan pelbagai lagi yang juga anda boleh tambah sendiri kerana isu ini
sentiasa menjadi justifikasi seseorang tidak mahu berubah menjadi lebih
Islamik. Dan saya sebagai penulis entri terlebih-lebih lagi bersalah dalam hal
ini.
Adakah salah
islamik berbentuk luaran? Tidak salah, tetapi dalaman mestilah seiring. Macam
kuih karipap, kalau kulitnya gurih dan rapuh sedap tetapi tiada inti, adakah ia
sempurna sebagai karipap?
Islamik secara
dalaman juga jarang difahami secara menyeluruh. Banyak yang menjurus pada soal
penyucian hati semata-mata. Betul, penyucian hati itu penting, tetapi tindakan
hasil penyucian hati itu yang sukar.
Malah ada
tindakan-tindakan yang sebenarnya Islamik diperlekehkan oleh orang yang tampak
Islamik. Contoh-contoh seperti berikut:
Contoh 1:
Memakai tali
pinggang keledar walaupun hanya hendak ke kedai yang berjarak 500 meter.
“Alah engkau ni
skema lah, dekat je bukan ada polis pun.”
Mari kita
analisa senario ini. Kenapa kita memakai tali pinggang keledar, takut disaman
polis atau mengambil langkah-langkah keselamatan. Sebagai muslim, kita disuruh
berusaha dan bertawakkal. Adakah tindakan tidak memakai tali pinggang keledar
itu dikira bertawakkal? Sila fikir sendiri. Pepatah melayu ada mengatakan,
malang tidak berbau.
Contoh 2:
Tidak membuang sampah
merata-rata. Ramai melakukan ini tanpa rasa bersalah kerana merasakan semua
orang lain pun buat. Adakah ini alasan yang baik untuk kita gunakan apabila
dipersoalkan di akhirat kelak? Adakah kita boleh menjawab, “alah, sampah kecil
sahaja. Semua orang pun buat.”
Contoh 3:
Membeli telur
ayam yang tidak dikurung di dalam reban. Saya akui saya juga pernah
memperlekehkan hal ini. Ironinya, kesedaran tentang kebajikan binatang mula
semakin mendalam setelah berpeluang bermukim di negara barat majority bukan
Islam. Dahulu saya juga memandang serong kepada mereka yang mengambil keputusan
untuk menjadi vegan/vegetarian. Saya semakin mengerti alasan mereka demi
kebajikan binatang. Ya, tidak salah untuk memakan binatang yang disembelih
secara halal. Yang salah ialah apabila binatang-binatang ini dianiayai dalam
proses untuk menjadi makanan manusia.
Tiada ruang untuk bernafas di dalam kandang umpamanya. Bagaimana sebagai Muslim
kita boleh berasa ini bukan suatu isu.
Contoh 4:
Membeli produk
yang tidak menggunakan binatang dalam ujian makmal. Benar, produk sebegini
mahal dan tidak semestinya semua orang mampu melakukan ini. Tetapi sekurang-kurangnya
jangan mengejek-ngejek orang yang berbuat demikian. Masyarakat kita ini secara
amnya suka benar memperlekehkan orang berbuat baik. Peringatan untuk diri
sendiri juga.
Contoh 5:
Memandu melebih had laju yang dibenarkan. Apabila ditegur, jawapan berikut adalah biasa:
"Rilek lah, undang-undang dunia sahaja."
Jika berlaku kemalangan yang disebabkan oleh kita memandu laju bagaimana? Boleh jawab dengan Allah menggunakan skema jawapan sama?
Dan banyak lagi
contoh yang nampak remeh tetapi besar kesannya kepada jati diri kita sebagai
Muslim. Jika perkara-perkara kecil pun dianggap tempelan manakan mungkin
perkara-perkara besar dapat dihayati. Umpama sebuah rumah agam, mana mungkin
gah tersergam tanpa gabungan bata-bata kecil. Kita selalu berasa hairan kenapa
sejumlah negara bukan Muslim lebih selamat dan alam sekitarnya bersih
berbanding sejumlah negara Muslim. Saya kira, inilah jawapannya.
Tidak malukah
kita beranggapan sudah lengkap menjadi Muslim dengan mengucap kalimah syahadah,
solat lima waktu, berpuasa Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji lalu
berasa sudah boleh masuk syurga walaupun mengabaikan hubungan sesama makhluk?
(termasuk tumbuh-tumbuhan dan haiwan). Untuk menjadi islamik secara total
mestilah mengambil kira dari sekecil-kecil perbuatan. Muhasabah diri.