Perjalanan ke San Diego melibatkan dua penerbangan. Pertama: Kuala Lumpur ke Tokyo dengan Malaysia Airlines. Seterusnya dari Tokyo ke San Diego dengan Japan Airlines. Ditakdirkan perjalanan kami adalah dalam bulan Ramadhan. Sewaktu saya berlepas dari Lapangan Terbang Kuantan ke KLIA, ramai orang menaiki kapal terbang sama untuk mengerjakan umrah. Pekerja pun ingat saya hendak pergi umrah, maklumlah saya pun memang selalu pakai tudung labuh, baju labuh dan skirt labuh hehe.
Kami berlepas dari KLIA pada tengah malam dan tiba di Lapangan Terbang Narita pada waktu Subuh. Kami mengambil keputusan untuk tidak berpuasa dengan mengambil rukhsah musafir kerana perjalanan ke San Diego mengambil masa lebih sehari. Tempoh transit sebelum berlepas ke San Diego mengambil masa lebih kurang lapan hingga sembilan jam. Sejujurnya saya lebih teruja untuk transit di Tokyo, kerana inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke negara yang paling saya angan-angankan untuk sampai sejak kecil. Saya bertanya serba sedikit kepada rakan yang belajar di Jepun tentang ke manakah tempat sesuai untuk kami singgah dalam tempoh transit. Beliau mencadangkan kami pergi ke Ueno, ada taman, tempat makan dan boleh juga membeli cenderamata.
Selesai urusan di lapangan terbang, kami menaiki Narita Express (NEX) untuk menuju ke stesen Ueno. Dengan tak mandinya, selamba sahaja pergi berjalan-jalan. Ketika itu bulan Jun, musim bunga baru sahaja berakhir. Tak dapatlah nak tengok sakura, tapi nasib baik belum masuk musim panas, jadinya cuaca agak nyaman. Stesen Ueno ada sangat banyak pintu keluar, barat, timur etc bagai. Puas juga mencari yang mana menuju Ueno Park. Setelah ketemu, kami bersiar-siar di Ueno Park yang agak luas juga. Berdekatan Ueno Park ada banyak muzium dan galeri. Geram betul saya hendak pergi tetapi masa tidak mengizinkan. Berdasarkan carian Internet, saya dapat tahu ramai gelandangan tinggal di Ueno Park. Gelandangan Jepun bukan sebarangan, siang mereka kemas tempat tidur elok-elok dan melepak di taman secara terhormat. Namun dapat juga kami kenalpasti perbezaan mereka berbanding pengunjung lain.
Kemudian kami menapak ke Ameyayokocho Market (Ameyoko) untuk membeli makanan tengahari dan sedikit cenderamata. Ameyoko memang kawasan yang agak meriah dengan pelbagai bangsa dan budaya. Kami membeli kebab Turki yang saya rasa sangat segar dagingnya. Teringat pada kebab di Australia. Memang lain rasa daging di negara maju, lembut dan segar. Setelah itu kami membeli sedikit cenderamata biasa seperti kemeja T, magnet peti ais dan rantai kunci yang hampir kesemuanya diperbuat di China, apakan daya 😂.
Memandangkan penerbangan ke San Diego pada waktu petang, kami terpaksa kembali ke Narita. Setibanya di Narita, saya rasa sangat tidak selesa sebab kali terakhir saya mandi adalah pada pagi hari sebelumnya. Saya cuba mencari bilik mandi dengan bertanyakan pekerja-pekerja pembersihan tetapi dek kerana keterbatasan bahasa, saya tidak berjaya. Kemudian saya bertanya di kaunter maklumat, dan mendapati bahawa bilik mandi cuma ada di satu kawasan. Saya gagahkan juga mencari kerana sudah tidak tahan badan melekit dan belengas. Akhirnya berjumpa kawasan bilik mandi, agak ekslusif rupanya. Perlu bayar 10 USD untuk sekali masuk setengah jam. Mahal sungguh tapi saya sudah tidak peduli. Itulah bayaran mandi paling mahal dalam hidup saya mungkin. Nasib baik bilik mandinya cantik , sempat pula saya mengambil gambar.
Setelah bersiram dan bertukar pakaian, barulah rasa lebih segar untuk meneruskan musafir. Sambil menunggu penerbangan, kami makan lebihan kebab tengahari tadi. Saya kurang ingat waktu berlepas, mungkin pukul 4-5 petang kami memasuki pesawat Japan Airlines. Pertama kali naik Japan Airlines, cantik-cantik sungguh peramugarinya. Terpana kami melihat kelembutan pergerakan mereka, tambahan pula mereka banyak tunduk. Tunduk pula ada pelbagai cara.
Kami mendapat tempat duduk tengah. Malam itu kami solat jamak Maghrib Isyak dan cuba juga solat Terawih dalam kapal terbang ketika lampu sudah dipadamkan. Cuma agak terganggu dengan penumpang sebelah yang tidak tidur menonton filem di skrin. Perjalanan ke San Diego mengambil masa 10 jam kalau tidak salah ingatan saya. Selepas solat saya meneroka apakah bahan-bahan hiburan yang ada. Bagi otaku seperti saya, sangat teruja melihat banyak koleksi manga, anime dan filem-filem Jepun. Sebelum tidur saya tonton satu filem Jepun terbaru ketika itu bertajuk The Actor yang dibintangi Aso Kumiko, pelakon kegemaran saya. Tapi saya tonton separuh sahaja. Masa untuk berehat.