Sunday, July 25, 2021

Tanah Air Pakcik Sam - Pengenalan

Rasanya tiada siapa yang tidak tahu kewujudan negara Amerika Syarikat. Walaupun pada zaman tiada Internet dahulu. Zaman maklumat didapati dari akhbar, radio ataupun televisyen sahaja. Malah pada zaman sebelum ada televisyen lagi, Amerika Syarikat sudah menunjukkan taringnya di peringkat global. Amerika Syarikat (AS) sememangnya mendominasi dunia hiburan sebelum Korea Selatan mengambil alih pasca penggunaan Internet yang meluas.

Semasa budak-budak, saya gemar menonton televisyen, jadinya drama dan filem keluaran AS memang diketahui oleh saya. Lagu-lagu yang popular pun dari AS. Susah hendak mencapai lagu dan drama negara lain. Oleh itu, suasana AS sentiasa menjadi tatapan dan terfikirlah juga mungkinkah ada rezeki untuk berkunjung ke sana. 

Apabila meningkat dewasa dan usia mencecah 30an, berita-berita tentang AS sebagai negara yang Islamophobic mula menjadikan saya bimbang untuk melawat AS. Namun ditakdirkan Allah, pada tahun 2016, kertas kerja saya diterima untuk pembentangan di sebuah persidangan yang berprestij dalam bidang yang saya pelajari. Rugi jika saya tidak pergi. Tambahan pula ditaja. Puas saya berdolak-dalik memikirkan mahu pergi atau tidak. Alhamdulillah akhirnya ada sahabat sudi menemani. Dan anak saudaranya turut ingin mengikuti, ditaja oleh ibunya. 

Langkah pertama, perlu mendapatkan visa. Hasil carian di Internet, prosedurnya rumit dan tidak sedikit yang permohonan mereka ditolak. Tambahan pula dengan bayaran permohonan yang boleh tahan. Berdebar pula, adakah permohonan saya akan diluluskan. Tapi kami teruskan sahaja memohon. Banyak sekali soalan yang perlu dijawab, semua soalan berbaur keselamatan. Soalan paling kelakar bagi saya, "Adakah anda seorang pengganas?" Siapalah yang akan menjawab ya, adoi. 

Kemudian, kami diberi tarikh temuduga di Kedutaan AS. Hari sebelum temuduga, kami cuba mencari tempatnya supaya tidak sesat kelak. Puas berpusing mencari, pelbagai kedutaan negara telah kami temui, tapi kedutaan AS tidak kami temui. Akhirnya kami mengagak bahawa satu bangunan yang seperti tiada tanda nama itu adalah tempatnya. Saya keluar dan menuju pondok pengawalnya lalu bertanya. Benar sangkaan kami, itulah kedutaan AS. Apabila datang dekat baru nampak tulisan kecil Kedutaan AS. Kecil sungguh. Kami menerka, pasti kedutaan ini selalu jadi sasaran protes atau serangan. Orang selalu buat salah, begitulah kan.

Pada tarikh yang ditetapkan, saya pergi menghadiri temuduga. Seingat saya ada tiga pemeriksaan sebelum dapat masuk ke dalam. Rasa macam hendak naik kapal terbang mula. Ramai juga yang memohon rupanya. Kami semua duduk menunggu giliran masing-masing. Akhirnya tiba giliran saya. Saya sudah bersedia dengan pelbagai dokumen sokongan, takut ditolak kan. Temuduga berlangsung menggunakan bahasa Inggeris. Alhamdulillah sessi saya sebentar sahaja, penemuduga cuma bertanya apa tujuan saya hendak ke AS dan ke bahagian mana.

Lebih kurang seminggu selepas temuduga, kami mendapat makluman permohonan diluluskan. Visa yang diluluskan adalah untuk 10 tahun. Jadi saya masih boleh pergi ke AS sepatutnya sehingga tahun 2026. Ke mana destinasi saya di AS? Saya menuju ke San Diego, California. Bersempadan dengan negara Mexico. Amigos! (Tiba-tiba hehe) 



3 comments:

Kay said...

Eh serius la kak Ida p US? hahaahahah
macam takde pulak si Fatimah bercerita... tahunya akak balik dari AUssie terus balik Dungun

ida_zy said...

khairini salah faham ni. gi us untuk present paper je, tak sampai seminggu pun 😅

Liya Pransiska said...
This comment has been removed by a blog administrator.