Saturday, September 01, 2007

Malaysiaku Gemilang 50 Tahun, Semoga Dirahmati Allah S.W.T


Masih terngiang-ngiang lagu Malaysiaku Gemilang nyanyian Roy di telinga saya. Apa tidaknya, akhir-akhir ini hanya lagu itu yang diputarkan merata-rata tempat. Rasanya sudah lama saya tidak ’keep track’ tema Hari Kebangsaan, tetapi tahun ini saya boleh dengan bangganya mendakwa saya tahu tema Hari Kebangsaan. Tidak patriotikkah saya kerana tidak tahu tema hari kebangsaan? Tidak patriotikkah saya kerana tidak mengibarkan jalur gemilang?

Berdasarkan definisi patriotik umum yang ditanggapi seorang layman seperti saya, patriotik itu maksudnya cinta negara. Saya ada merujuk wikipedia tentang istilah patriotik ini, ada artikel yang menyatakan golongan beragama seperti Roman Catholists dan Muslim diragui kesetiaan mereka pada negara. Hairan juga ya, apa agama tidak mengajar penganutnya cintakan tanah airkah? Mustahil orang yang taat agama rela melihat negaranya berantakan, dijarah tangan-tangan penjajah. Rujuk sahaja sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Datuk Bahaman (saya banyak merujuk pahlawan Pahang kerana saya orang Pahang), Haji Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi. Kesemuanya terkenal sebagai pahlawan yang alim, dan mereka jugalah yang memimpin barisan menentang penjajah. Kenapa saya berceloteh panjang tentang hal ini, kerana saya bosan dengan semangat kemerdekaan hanya pada permukaan. Melaungkan ungkapan merdeka pada malam menjelang 31 Ogos, mengibar-ngibarkan bendera, kemudian bersukaria hingga pagi tanpa tujuan. Patriotikkah itu?

Sayang pada negara harus dibuktikan lebih daripada itu. Jika anda seorang pelajar contohnya, belajar rajin-rajin, jika anda seorang pekerja awam, kerja betul-betul, hatta tukang sapu sekalipun, andai anda ikhlas berbakti pada agama, bangsa dan negara, anda patriotik. Saya menganggap Malaysia ini seperti sebuah kediaman yang besar, pentadbirnya umpama ibubapa, dan rakyatnya laksana anak-anak. Tanah air tercinta ini pinjaman daripada Allah S.W.T, semestinya lah keluarga besar ini sama-sama menjaganya kerana ini amanah besar. Salah silap pasti ada di dalam sebuah keluarga, maka sifat tegur-menegur ke arah kebaikan mesti diterapkan, ada hal yang salah tidak boleh dibiarkan. Menegur kesalahan bukan tanda benci, malah kerana sayang. Apapun, tatasusila tegur-menegur di dalam satu unit keluarga perlu lah dilandasi hikmah. Tentu sahaja agama wajib menjadi tunggak utama. Urusan-urusan keluarga tidak perlulah dicampuri pihak luar. Demikianlah adanya perumpamaan yang boleh saya berikan tentang Malaysia yang saya cinta ini.

Perlu saya jelaskan, saya amat bersyukur dilahirkan di Malaysia lantaran peluang pendidikan di Malaysia amatlah cerah dan luas sekali. Hal ini kurang saya sedar hinggalah saya berkawan dengan teman-teman dari negara-negara lain. Bantuan pendidikan mudah sekali didapati, alhamdulillah, saya tidak putus-putus menerima bantuan sehingga saya berpeluang melanjutkan pengajian hingga ke tahap sekarang. Cuma satu, saya berharap benar agar pembangunan rohaniah dapat ditekankan semula. Tidak dapat dinafikan, pembangunan fizikal di Malaysia memang telah mencapai tahap membanggakan, ya.. siapa tidak tahu KLCC, Putrajaya, Eye on Malaysia. Namun, ia umpama bunga dedap sekiranya jiwa-jiwa kosong mendominasi bumi tercinta ini. Andai tiada langkah diambil, tidak mustahil Malaysia akan jadi kota batu yang dihuni masyarakat berjiwa batu juga. Apapun saya tetap optimis, kerana ini tanah air saya, tempat tumpah darah saya, dan saya sayang padanya.

No comments: