Ketika menjalani praktikal di
sebuah jabatan kerajaan lebih kurang 10 tahun dahulu, waktu rehat pada hari
Jumaat adalah amat dinanti-nantikan kerana tempohnya yang panjang (hampir 2 jam) bagi
membolehkan kaum muslimin mengerjakan ibadah solat Jumaat. Selalunya saya
dan rakan-rakan praktikal perempuan yang lain akan cepat-cepat makan tengahari
dan solat supaya kami boleh tidur atau berehat di surau. Ada sekali dua ketika
di surau sewaktu solat Jumaat kami menyedari ada seorang lelaki tidur di
bahagian ruang solat Muslimin. Tentu sahaja dia menjadi bahan bualan kami
kerana tidak bersolat Jumaat, tetapi tiada siapa pun yang menegur. Kadang-kadang
kami mengambil keputusan untuk pergi ke pusat membeli belah bagi makan
tengahari yang mewah sedikit di samping mengambil peluang window shopping. Ramai
sekali kaum Adam yang kami temui tidak bersolat Jumaat, tetapi sekadar menjadi
cemuhan kami di belakang.
Setelah tamat pengajian sarjana
muda, saya bekerja sementara di sebuah pusat pengajian tinggi awam. Di sini,
alhamdulillah mereka mengadakan program tazkirah untuk staf wanita ketika solat
Jumaat. Namun, kadang-kadang program tidak dapat dilaksanakan, rutin lama pun
berulang kembali. Waktu solat Jumaat menjadi waktu shopping dan berjalan-jalan
ke bandar. Setiap kali menemukan lelaki tidak solat Jumaat, mulut mengata dan
hati menyampah, sekadar itulah.
Saya kemudiannya menyambung
pengajian lagi, waktu solat Jumaat turut menjadi pilihan untuk saya melepaskan
tekanan menyiapkan tesis kononnya dengan berjalan-jalan ke pusat membeli belah
dan makan-makan. Kaum Adam yang tidak bersolat Jumaat tetap ramai ditemui. Masih
lagi saya rasa mereka adalah berdosa dan bersalah dan meletakkan tanggungjawab
ke bahu mereka secara total. Hingga satu ketika seorang sahabat menceritakan
tentang kenalannya (seorang Muslimah) yang tidak akan keluar membeli belah sewaktu
solat Jumaat kerana berpegang kepada pesanan di dalam surah Jum’ah. (para
pembaca boleh rujuk sendiri tafsiran surah ini). Saya tersentak ketika
mengetahuinya, namun masih lagi tiada perubahan dari diri saya sendiri. Saya masih
lagi merasakan kaum Adam sahaja yang bersalah jika mereka tidak solat Jumaat
dan kami perempuan tidak bersalah jika ingin membeli-belah ketika itu. Namun hati sudah mula resah
apabila melihat kaum lelaki keluar berjalan-jalan terutamanya jika mereka
bersama teman wanita (saya cuba untuk bersangka baik mereka keluar dengan
isteri, tetapi sukar dipercayai), malah ada yang keluar sekeluarga bersama
anak-anak.
Usai pengajian sarjana,
alhamdulillah saya direzekikan bekerja di negeri yang cuti umumnya ialah hari
Jumaat dan Sabtu. Maka, rutin membeli belah waktu solat Jumaat tidak lagi
menjadi amalan. Sangat besar hikmahnya mendapat cuti hari Jumaat, saya mula
menyedari fadhilat-fadhilat Jumaat yang sangat hebat. Ditambah pula
dengan kempen besar-besaran di Internet tentang amalan-amalan membesarkan hari
Jumaat seperti bersolawat, membaca surah Al-Kahfi sejak beberapa tahun lepas
menjadikan hati semakin dekat dan tidak mahu mensia-siakan Jumaat. Namun adakalanya
saya terpaksa bermusafir pada hari Jumaat, fenomena sama masih dapat
disaksikan.
Alhamdulillah, saya mula
dikurniakan rasa sedih dan marah melihatnya. Terus terang saya hairan kenapa
seorang wanita boleh selesa dengan cinta hatinya tidak pergi solat Jumaat. Bagaimana
pula dengan anak-anaknya melihat bapa tidak menunaikan solat Jumaat, apakah ini
contoh yang baik? Ya, ada yang menjadikan alasan bermusafir untuk tidak
bersolat Jumaat. Saya tidak mahu mengulas soal hukum, itu anda boleh bertanya
pada yang alim dan pakar. Saya cuma memikirkan dari pandangan orang awam,
secara logiknya saya tidak nampak apa yang sukar untuk bersolat Jumaat. Kita bukan
berada di negara majoriti bukan Islam di mana masjid atau jemaah sukar dicari. Urusan
membeli belah juga boleh diatur, kenapa mesti memilih hari Jumaat yang mulia. Perbuatan
demikian memberi kecelaruan kepada imej Islam, golongan bukan Islam sudah tentu
merasa hairan kenapa ramai lelaki yang bersolat Jumaat di masjid dan kenapa ada
yang tidak, seperti mana mereka keliru kenapa ada Muslimah yang menutup aurat
dan ada yang tidak. Saya mula menyedari, perempuan juga bertanggungjawab dalam
hal yang tidak wajar dipandang remeh ini.
Wahai saudari-saudari muslimatku,
sanggupkah anda bernikah dengan lelaki yang memandang ringan solat Jumaat? Kenapa
saudari gembira keluar berdating (hal dating itu perbincangan lain) dan menaruh
harapan pada lelaki yang tidak menghormati perintah Allah, bukan
sembunyi-sembunyi malah terang-terangan. Wahai para isteri, beritahu dan
pujuklah para suami agar kalian sekeluarga boleh bersantai berjalan-jalan pada
hari bukan Jumaat. Jika terpaksa sangat, ajaklah ahli keluarga berhenti
sebentar aktiviti membeli belah dan pergi ke surau untuk solat Zohor. Hal yang
sama juga wajar dilakukan dengan bapa, abang, adik lelaki dan semua saudara
mara lelaki kita. Kita pula sebagai perempuan, usahlah membeli belah pada waktu
solat Jumaat lagi. Oleh kerana kita ingin makan dan shopping, pekerja-pekerja
lelaki diberikan syif di kedai makan, restoran dan hypermarket. No demand, no
supply. Jika sudah tiada masa lain dan sangat perlu keluar ketika itu, pastikan
kita solat Zuhur dahulu dan laksanakanlah jual beli dengan kaum wanita sahaja. Jangan sampai sudah ditimpa bala baru kita hendak tersedar. Semoga Allah beri kekuatan kepada kita semua untuk taat padaNya. Wallahua’lam.