Friday, October 12, 2012

Jumaat yang dilupakan



Ketika menjalani praktikal di sebuah jabatan kerajaan lebih kurang 10 tahun dahulu, waktu rehat pada hari Jumaat adalah amat dinanti-nantikan kerana tempohnya yang panjang (hampir 2 jam) bagi membolehkan kaum muslimin mengerjakan ibadah solat Jumaat. Selalunya saya dan rakan-rakan praktikal perempuan yang lain akan cepat-cepat makan tengahari dan solat supaya kami boleh tidur atau berehat di surau. Ada sekali dua ketika di surau sewaktu solat Jumaat kami menyedari ada seorang lelaki tidur di bahagian ruang solat Muslimin. Tentu sahaja dia menjadi bahan bualan kami kerana tidak bersolat Jumaat, tetapi tiada siapa pun yang menegur. Kadang-kadang kami mengambil keputusan untuk pergi ke pusat membeli belah bagi makan tengahari yang mewah sedikit di samping mengambil peluang window shopping. Ramai sekali kaum Adam yang kami temui tidak bersolat Jumaat, tetapi sekadar menjadi cemuhan kami di belakang. 

Setelah tamat pengajian sarjana muda, saya bekerja sementara di sebuah pusat pengajian tinggi awam. Di sini, alhamdulillah mereka mengadakan program tazkirah untuk staf wanita ketika solat Jumaat. Namun, kadang-kadang program tidak dapat dilaksanakan, rutin lama pun berulang kembali. Waktu solat Jumaat menjadi waktu shopping dan berjalan-jalan ke bandar. Setiap kali menemukan lelaki tidak solat Jumaat, mulut mengata dan hati menyampah, sekadar itulah. 

Saya kemudiannya menyambung pengajian lagi, waktu solat Jumaat turut menjadi pilihan untuk saya melepaskan tekanan menyiapkan tesis kononnya dengan berjalan-jalan ke pusat membeli belah dan makan-makan. Kaum Adam yang tidak bersolat Jumaat tetap ramai ditemui. Masih lagi saya rasa mereka adalah berdosa dan bersalah dan meletakkan tanggungjawab ke bahu mereka secara total. Hingga satu ketika seorang sahabat menceritakan tentang kenalannya (seorang Muslimah) yang tidak akan keluar membeli belah sewaktu solat Jumaat kerana berpegang kepada pesanan di dalam surah Jum’ah. (para pembaca boleh rujuk sendiri tafsiran surah ini). Saya tersentak ketika mengetahuinya, namun masih lagi tiada perubahan dari diri saya sendiri. Saya masih lagi merasakan kaum Adam sahaja yang bersalah jika mereka tidak solat Jumaat dan kami perempuan tidak bersalah jika ingin membeli-belah ketika itu. Namun hati sudah mula resah apabila melihat kaum lelaki keluar berjalan-jalan terutamanya jika mereka bersama teman wanita (saya cuba untuk bersangka baik mereka keluar dengan isteri, tetapi sukar dipercayai), malah ada yang keluar sekeluarga bersama anak-anak. 

Usai pengajian sarjana, alhamdulillah saya direzekikan bekerja di negeri yang cuti umumnya ialah hari Jumaat dan Sabtu. Maka, rutin membeli belah waktu solat Jumaat tidak lagi menjadi amalan. Sangat besar hikmahnya mendapat cuti hari Jumaat, saya mula menyedari fadhilat-fadhilat Jumaat yang sangat hebat. Ditambah pula dengan kempen besar-besaran di Internet tentang amalan-amalan membesarkan hari Jumaat seperti bersolawat, membaca surah Al-Kahfi sejak beberapa tahun lepas menjadikan hati semakin dekat dan tidak mahu mensia-siakan Jumaat. Namun adakalanya saya terpaksa bermusafir pada hari Jumaat, fenomena sama masih dapat disaksikan. 

Alhamdulillah, saya mula dikurniakan rasa sedih dan marah melihatnya. Terus terang saya hairan kenapa seorang wanita boleh selesa dengan cinta hatinya tidak pergi solat Jumaat. Bagaimana pula dengan anak-anaknya melihat bapa tidak menunaikan solat Jumaat, apakah ini contoh yang baik? Ya, ada yang menjadikan alasan bermusafir untuk tidak bersolat Jumaat. Saya tidak mahu mengulas soal hukum, itu anda boleh bertanya pada yang alim dan pakar. Saya cuma memikirkan dari pandangan orang awam, secara logiknya saya tidak nampak apa yang sukar untuk bersolat Jumaat. Kita bukan berada di negara majoriti bukan Islam di mana masjid atau jemaah sukar dicari. Urusan membeli belah juga boleh diatur, kenapa mesti memilih hari Jumaat yang mulia. Perbuatan demikian memberi kecelaruan kepada imej Islam, golongan bukan Islam sudah tentu merasa hairan kenapa ramai lelaki yang bersolat Jumaat di masjid dan kenapa ada yang tidak, seperti mana mereka keliru kenapa ada Muslimah yang menutup aurat dan ada yang tidak. Saya mula menyedari, perempuan juga bertanggungjawab dalam hal yang tidak wajar dipandang remeh ini. 

Wahai saudari-saudari muslimatku, sanggupkah anda bernikah dengan lelaki yang memandang ringan solat Jumaat? Kenapa saudari gembira keluar berdating (hal dating itu perbincangan lain) dan menaruh harapan pada lelaki yang tidak menghormati perintah Allah, bukan sembunyi-sembunyi malah terang-terangan. Wahai para isteri, beritahu dan pujuklah para suami agar kalian sekeluarga boleh bersantai berjalan-jalan pada hari bukan Jumaat. Jika terpaksa sangat, ajaklah ahli keluarga berhenti sebentar aktiviti membeli belah dan pergi ke surau untuk solat Zohor. Hal yang sama juga wajar dilakukan dengan bapa, abang, adik lelaki dan semua saudara mara lelaki kita. Kita pula sebagai perempuan, usahlah membeli belah pada waktu solat Jumaat lagi. Oleh kerana kita ingin makan dan shopping, pekerja-pekerja lelaki diberikan syif di kedai makan, restoran dan hypermarket. No demand, no supply. Jika sudah tiada masa lain dan sangat perlu keluar ketika itu, pastikan kita solat Zuhur dahulu dan laksanakanlah jual beli dengan kaum wanita sahaja. Jangan sampai sudah ditimpa bala baru kita hendak tersedar. Semoga Allah beri kekuatan kepada kita semua untuk taat padaNya. Wallahua’lam.

No comments: