Thursday, March 21, 2013

Alhamdulillah


Sumber: Google Image


Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, sejuta kali lafaz alhamdulillah tidak akan mampu menggambarkan rasa syukur kepadaNya.  Sudah hampir 4 bulan saya kembara ilmu di rantau orang, sesuatu yang saya angan-angankan sejak remaja. Meski pernah pada satu ketika saya fikir impian ini tidak akan tercapai, tetapi saya lupa Allah Maha Mendengar. Dia Maha Mengetahui bilakah waktu yang sesuai dan situasi yang terbaik. Tinggal pada saya untuk mengambil ibrah setiap ketentuanNya. Indahnya menjadi Muslim, pada segala yang berlaku baik dan buruk, dengan mata hati berlandaskan iman, ada sahaja hikmah yang dapat ditemukan. Tiada apa yang sia-sia, jika kita berasa sesuatu yang berlaku itu tiada erti apa-apa, itu kelemahan akal kita yang tidak mampu menjangkaunya.

Allah juga melorongkan kita pada apa yang kita cari dan niatkan. Jika kita mahu yang baik-baik Allah akan buka jalan, saya percaya itu dan merasainya sendiri. Siapa sangka di bumi yang mana ramai manusia masih belum beriman padaNya, saya ketemu banyak sekali sumber mendekatkan diri kepadaNya. Subhanallah saya dikenalkan pada manusia-manusia soleh dan solehah yang teguh pada ajaranNya di tengah-tengah suasana yang penuh godaan ini. Kala menyusuri berhampiran tempat-tempat maksiat dan hiburan yang sangat terbuka dan terdedah hati rasa sangat tidak tenteram. Saya pohon rasa tidak tenteram itu berkekalan, jangan sampai satu ketika ianya jadi lali, nauzubillah. Terpulanglah pada diri untuk tetap pada jalanNya. Alhamdulillah di celahan seribu satu macam noda, tumbuh taman-taman syurga yang rimbun dan meneduhkan serta menyejukkan hati. Tiada alasan untuk jauh dariNya.

Semoga saya terus diberi kekuatan bermujahadah dan menjadi insan lebih beriman dari hari ke hari. Saya berniat untuk mula berkongsi ilmu milik Allah yang saya tadah di taman-taman syurga sepanjang kembara saya di blog ini kelak insya Allah. Moga dipermudahkan Aameenn.  

No comments: