Mentari pagi menyinar
indah, beburung berkicauan, bayu sepoi-sepoi bahasa menyelinap masuk
menerusi tingkap rumah yang terbuka luas. Tambahan pula hari ini hari
libur. Sepinggan nasi lemak yang dimasaknya awal pagi tadi dan
secawan teh hijau panas kurang gula telah terhidang di atas meja.
“Sambil-sambil sarap
best juga kalau berInternet ni,” getus hatinya seolah-olah melayari
Internet itu perkara yang jarang dilakukannya. Laptop dibuka dan
diletakkan di hadapan sepinggan nasi lemak. Cawan teh dialihkan ke
meja lain, bimbang akan tumpah ke laptop yang disayangi hampir-hampir
seperti keluarga sendiri.
“Mari kita mulakan hari
ini dengan video inspirasi, oh yeah.” Pantas jejarinya mengetik
kata kunci: ‘inspirational stories’ di ruang carian YouTube. Dari
senarai yang dipulangkan oleh YouTube, dia mengklik satu video yang
memaparkan slide show tentang menghargai setiap apa yang dimiliki
tanpa perlu iri pada orang lain. Usai menonton, hatinya rasa lapang.
Namun tangannya gatal untuk scroll ke ruangan komen.
Di celah-celah komen yang
majoritinya berbunyi, “Nice video!” “Keep it up!” “This
brings tear to my eyes”, satu komen bernada superior menyelit,
“The word greatful is wrong! It should be spelled grateful instade”
diiringi sejumlah thumbs down.
“Kamu pun salah eja
instead! Apakah? Yang salah juga dicari. Betulkan salah sendiri
dahulu!” balas seorang yang lain, dan komennya mendapat banyak
thumbs up.
Kemudian matanya
tertancap kepada komen yang berbunyi, “Jikalau benar Tuhan ada,
kenapa tidak dijadikan kita semua ini bernasib sama sahaja? Maka
tidak timbul soal iri dan sebagainya?” Jumlah thumbs down menyaingi
jumlah thumbs up. Juga mendapat banyak balasan menentang mahupun
menyokong.
Komen yang menentang ada
bernada mesra, “saudara, bacalah kitab Al-Quran. Pasti anda ketemu
jawapannya. Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui”.
Namun ada juga yang keras
membangkang, “wahai ateis yang ce****, $#@^! Kamu pasti akan ke
neraka! Allahu Akbar!” Komen sebegitu mudah sahaja mengundang isu
baru pula, “inilah islam yang kamu katakan aman damai itu ya.
Memang muslim itu pengganas tetapi kamu masih berdolak dalik! Apa
kamu fikir kami yang bukan muslim ini tidak bermoral?” Diikuti
banyak lagi komen yang senada mengecam Islam sebagai agama keganasan.
Dia terasa menyesal
kerana membaca komen-komen yang akhirnya menggugat kelapangan hatinya
tadi. Nasi lemak terus disuap hingga habis untuk meredakan emosi.
Geram sungguh dia hendak turut serta dalam pergaduhan
perbincangan maya itu. Alhamdulillah dia telah lama bersara
dari menjadi pahlawan papan kekunci, maka dia membiarkan laptop dalam
standby mode.
Pinggan yang telah kosong
dibawa ke singki dan dibasuh. Kemudian dia mencicipi teh hijau yang
masih berbaki.
“Sambil-sambil minum
apa kata berfacebook. Boleh juga menambah ilmu dengan perkongsian
baik-baik,” bicaranya seumpama memujuk hati. Tidak serik dengan apa
yang berlaku tadi. Apa yang hendak dibimbangkan, fikirnya. Dia telah
lama meng-unfriend atau menyembunyikan newsfeed kenalan dan teman
yang berbaur negatif. Laptop dihidupkan semula. Laman facebook
mengisi ruang skrin laptop.
Silih berganti ayat-ayat
Quran dan hadis serta kata motivasi menjadi isi status teman-teman
dan laman yang dilangganinya.
“Sungguh terinspirasi
rasanya diri ini,” dia tersenyum. Langsung lupa pada artikel dan
journal akademik yang harus diladeninya.
Laman seorang tokoh
motivasi yang dilangganinya memaparkan gambar beliau bersama isteri
dan anak-anak. Mendapat 2000+ likes. Apabila gambar diklik, automatik
senarai komen muncul di sudut bawah kanan.
“Semoga berbahagia
hingga ke jannah,” komen sejumlah pengunjung dengan sopan.
“Cantik isteri tuan,”
komen terlebih peramah.
Namun disangka panas
hingga ke petang, hujan pula pada tengahari. Tiada rebut tiada petir
tiba-tiba ia melanda.
“Wajah anak lelaki tuan
tidak sama dengan rupa tuan dan isteri,” tanpa berbasa-basi terus
sahaja seorang mengulas. Mungkin dia tersalah anggap ini laman
biologi dan genetik atau reproduksi.
“Kenapa tuan memakai
seluar jeans? Sebagai seorang tokoh motivasi Muslim tuan seharusnya
tahu kita tidak boleh menyerupai kaum Yahudi dan Nasrani. Haram
hukumnya memakai seluar jeans”. Dia seakan terdengar-dengar nada
kemarahan yang memberi komen.
Komen itu mendapat
balasan yang banyak dari pengunjung lain. Salah satunya tidak dapat
dikategorikan adakah ia meredakan atau memburukkan keadaan, “Jangan
begitu syadid. Bagi saya yang kita perlu tegur ialah cara pakaian
isterinya yang masih tidak sempurna menutup aurat.”
“Jangan mengkritik soal
berpakaian. Ia soal peribadi,” seorang memberikan pendapat.
“Soal halal haram bukan
soal peribadi. Inilah akibat sistem pemerintahan tidak berlandaskan
Islam.”
“Inilah orang parti
***. Mudah menghukum orang berdosa."
“Kenapa hal politik
hendak dicampuradukkan pula. Tuan XYZ cuma ingin berkongsi gambar
keluarga dengan kita.”
“Ya…. itu dia macai
parti **** sudah datang!”
…….
Fullstop. Noktah. Dia
mematikan laptopnya kali ini. Teh hijau diteguk hingga tidak berbaki
di dalam cawan. Kepalanya rasa berat seumpama memikirkan masalah
negara. Cawan kosong diletakkan di bawah tudung saji, mungkin akan
digunakan lagi. Kemudian menuju ke bilik mengambil the Ultimate Book,
the Supreme Good Tube dan menemukan ayat:
"Serulah ke jalan Tuhanmu
(wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran
yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu)
dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang
lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua
yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah
petunjuk."
Quran 16:125
No comments:
Post a Comment