Monday, October 06, 2014

Silibus Untuk Hidup


source: Google Image
Sejak dulu, saya tergolong dalam kalangan exam-oriented dalam hal pendidikan. Saya sukakan sesuatu yang jelas silibusnya, skop yang telah dikenalpasti, dan hala tuju jelas beserta deadline. Mudah kata, saya tidak mahu memikul tanggungjawab membuat keputusan, sekaligus terlepas daripada beban dipersalahkan jika sesuatu tidak menjadi. Anehnya, dalam hal yang tidak melibatkan pendidikan formal saya agak fleksibel, mungkin kerana ia tidak melibatkan tanggungjawab.


Namun, selaku seorang yang terlibat dalam dunia akademik tidak dapat tidak, untuk meneruskan pengajian lebih tinggi memerlukan saya membebaskan diri dari terikat dengan garis panduan silibus. Malah sebenarnya, pembelajaran berasaskan penyelidikan hampir tidak berasaskan silibus yang digariskan pengajar. 


Bukan terkadang, malah kerap kali saya tidak tahu adakah saya berada di jalan yang betul atau tidak? Sering pula ragu apakah persimpangan seterusnya, adakah ke kanan, ke kiri, maju sahaja ataupun perlukah saya berundur? Berapa lama pula tempoh masa yang perlu diambil pada setiap pusingan dan langkah, segalanya sungguh sukar dijangka. 


Alhamdulillah, sangat beruntung menjadi Muslim, saya punya Al-Quran sebagai manual rujukan. Banyak sekali Allah berfirman bahawa Al-Quran itu diturunkan sebagai panduan, tinggal lagi saya ingin merujuknya dan mengamalkannya. Betapa Kasih Allah Ar-Rahman Ar-Rahim, Kalamnya sentiasa ada untuk kita dekati. Silapnya pada kita kerana sering menggantungkan harapan pada makhluk untuk merungkai kebingungan dan memudahkan urusan. Makhluk hanyalah asbab dan mereka tidak punya pengetahuan jika Allah tidak mengilhamkan. 

Manusia boleh merangka berbagai prosedur, garis panduan, modus operandi etc, tetapi tetap tidak sempurna walau kita cuba sedaya upaya mengikutinya. Manusia boleh menetapkan perancangan sela masa sekian-sekian untuk setiap fasa, namun pasti ada cacat-celanya. Sebagai makhluk, susuri sahaja jalan yang Maha Pencipta lorongkan, kerana di situ adanya petunjuk sejati.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;  (Quran 2:2)

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).(Quran 45:20)




No comments: