Sunday, November 04, 2018

Cantik Bukan Main!



Suhu musim luruh di bumi Brisbane ini sangat digemarinya. (meski tidak berlaku proses penukaran warna daun kepada warna merah kuning pada musim luruh Brisbane). Julat sekitar 14 – 28 celsius cukup nyaman untuk dia berjalan kaki tika mentari telah tinggi namun tidak pula sejuk hingga terpaksa berbungkus dengan gebar dan menghidupkan pemanas pada subuh hari. Perjalanan setiap pagi ke universiti sentiasa menenangkan jiwanya saat melalui kediaman-kediaman berstruktur tradisional digelar Queenslander. Menjamu mata dengan taman-taman mini elok terjaga, sering pula disapa ucapan “good morning” dari tuan rumah yang peramah. Yang sudah berusia selalunya. Kadangkala ucapan “good morning”diakhiri dengan panggilan love.

Namun hari ini dia teringin singgah di pusat bandar sebelum menuju ke universiti. Maka dia memilih untuk menaiki bas. Jadual waktu bas memang terpapar pada tiang di perhentian bas. Jarang sekali bas lewat daripada jadual, memudahkan para pengguna. Bas tiba tepat pada waktu yang tertera, dia beserta para pengguna lain yang sedang menunggu bingkas bangun dan bergerak menuju bas. Masing-masing beratur dan menunggu giliran untuk menaiki bas. Seperti biasa, pengguna lelaki akan memberi laluan kepada pengguna perempuan untuk naik dahulu. Lebih mengharukan apabila lelaki yang sudah tua bertongkat juga memberi laluan kepada perempuan muda. Kalau mahu menolak, lambat pula jadinya bas bergerak. Usahkan lelaki tua, sesama perempuan muda pun saling mendahulukan. Mereka terlebih mengamalkan konsep ithar.

Tidak cukup mengalah ketika menaiki bas, di dalam bas jika tiada tempat kosong, kebanyakan waktu kaum lelaki akan bangun dan memberikan tempat duduk. Tempat duduk untuk OKU, warga emas dan wanita hamil juga tidak disalahgunakan. Bas turut menyediakan gelongsor untuk memudahkan pengguna berkerusi roda naik dan turun bas. Sebaik sahaja pengguna berkerusi roda mahupun ibubapa membawa stroller dan anak naik, penumpang lain terus memberikan tempat tanpa teragak-agak.

Dia turun dari bas setelah sampai di perhentian pusat bandar. Banyak sekali lampu isyarat untuk pejalan kaki melintas jalan. Kalaupun tiada lampu isyarat, lintasan zebra ada disediakan. Kenderaan akan memperlahankan kelajuan dan berhenti apabila ada orang melintas. Sangat sesuai untuk dia yang penakut melintas jalan. Ketika di tanahairnya yang tercinta, proses melintas jalanraya bagaikan pertaruhan nyawa pada hematnya.

Destinasinya ialah kedai alat tulis. Sebaik melangkah masuk ke kedai, dia menerima sapaan mesra dan senyuman manis oleh pekerja kedai. Niat tidak mahu membeli boleh sahaja berubah dek terpukau senyuman manis bak gula. Di kaunter bayaran juga begitu, juruwang akan bertanya khabar dengan nada ceria dan mengucapkan “have a good day” selepas urusan jual beli selesai. Dia pernah menceritakan hal ini kepada kakaknya di Malaysia tetapi dibalas dengan pandangan skeptikal.“Senyuman dibuat-buat sahaja itu,” kata kakaknya. Entah, mungkin benar mungkin tidak, tetapi yang pasti sebagai pelanggan dia berasa senang ketika berurusan jual beli. Keikhlasan dalam kemesraan tidak dapat diterkanya, malah tidak perlu untuk dia bersusah-susah menilai. Segar di ingatan kata-kata dorongan seorang temannya, “fake till you make it!

Selesai urusan di bandar, dia menapak ke universitinya yang tidak berapa jauh dari bandar. Ada urusan di perpustakaan yang perlu dilunaskan. Di mana-mana bahagian pentadbiran universiti secara amnya mereka akan melayan semua soalan pelajar. Jika mereka boleh menyelesaikan pada masa itu, pasti diselesaikan segera. Jika tidak mampu akan diberi kata-kata menyenangkan dan tempoh untuk maklum balas. Meski kadang-kadang dia merasakan soalan yang diutarakannya entah apa-apa atau boleh sahaja digelar soalan bodoh pada standard negara asalnya. Namun tidak pernah dia mendapat tempelakan seperti, “ini pun kamu tidak tahu?” “kamu tidak baca notiskah?”

Demikian secara amnya pengalaman dia berinteraksi dengan masyarakat Brisbane sehari-hari. Benar, kebaikan mereka bukanlah sempurna. Amalan negatif seperti gemar meminum arak dan berparti (yang juga dilakukan sebahagian mengaku Muslim di negaraku?) amat  sebati dengan diri mereka. Australia juga bukanlah terkenal sebagai negara yang kuat beragama. Jarang sekali mendengar mereka menyandarkan apa-apa yang berlaku atas kuasa Tuhan. Namun, fitrah berbuat baik kepada orang lain mengakar dalam nurani mereka. Sayang seribu kali sayang kepada siapa  segala amalan baik ini disandarkan dan dipersembahkan. Dulu dia hanya mendengar dan membaca kata-kata Syed Qutb yang berbunyi, “aku menemui Islam di negara bukan Islam” tanpa perasaan. Apabila mengalaminya sendiri, kata-kata itu sangat terngiang-ngiang di kotak fikirannya. Allah berfirman di dalam Surah Al-Asr: Orang-orang yang beruntung ialah orang yang beriman dan beramal soleh. Beriman sahaja tidak cukup, amal soleh sahaja tidak cukup juga. Bagai aur dan tebing, kedua-duanya harus seiring. Memang tidak dapat dinafikan, cantik sekali amalan hablunminannas mereka, andai disulami iman, masya Allah cantik bukan main jadinya.

Catatan musim luruh 2015

1 comment:

Kay said...

membaca ayt demi ayat baris demi baris macam saya pula yg berada di Brisbane.