Wednesday, June 10, 2020

Purnama Merindu


source: Google Image
Selaku Gen-X, saya tidak tahu apa lagu popular dan siapa penyanyi yang terkenal sekarang. Saya cuma kenal Dato' Seri Siti Nurhaliza dan yang seangkatan dengannya. Itupun cuma tahu lagu beliau yang lama-lama, tetapi walaupun sudah lebih 20 tahun, Allahu lirik-lirik lagu beliau masih melekat dalam kepala.
Sebab itulah masa muda kena banyak hafaz Quran dan menuntut ilmu kerana ketika itu otak masih kuat menyerap. Bukan senang nak buang lirik-lirik lagu zaman jahiliah dalam kepala ini walau sudah lama. Antara lirik lagu yang saya masih ingat ialah daripada lagu Purnama Merindu. (aik makcik ni nak mengimbau zaman muda mudi jahiliah ke apa? sabar, baca sampai habis dulu)
Berikut ialah lirik korusnya:
Purnama mengambang cuma berteman
Bintang berkelipan dan juga awan
Siapa tahu rindu yang mencengkam
Di hatiku

Aku meminta pada yang ada
Aku merindu pada yang kasih
Aku merayu padamu yang sudi
Merinduku

Memang ini lagu cinta manusia, tetapi jika saya perhatikan betul-betul liriknya, ia boleh jadi lagu munajat kepada Tuhan. Seperti lagu Ketulusan Hati oleh Anuar Zain (penyanyi lama juga), yang akhirnya digunakan sebagai lagu latar belakang video munajat kepada Allah di Astro Oasis dan juga diputarkan di IKIMfm sebagai lagu ketuhanan.
Lirik korus Purnama Merindu boleh saja dikaitkan dengan suasana malam yang hening, waktu paling indah untuk bermunajat, mengadu dengan Allah. Setelah lelah menggapai cinta manusia yang lemah, tidak berbalas, hati yang lara dan remuk, hanya Allah Maha Memahami. Hanya Allah yang sentiasa Ada untuk kita, hanya Allah yang sentiasa menantikan doa kita, merinduinya. Hanya Allah yang sentiasa Maha Mendengar luahan kita, tanpa syarat. Gejolakkan rasa pengharapan hanya kepadaNya, rasa rindu membuak-buak kepadaNya. Itulah Purnama Merindu yang sebenar 

No comments: