Thursday, December 19, 2013

Mencari Cahaya

source: Google Image

Apabila kebenaran disuakan kepada kita, memang sukar untuk kita menerima jika ia bertentangan dengan nilai dan kepercayaan yang kita pegang sejak lama. Ia mungkin juga berlawan dengan hasil kaedah kita dibesarkan, didikan juga lingkungan pergaulan kita. Terlebih sukar, apabila kebenaran itu disampaikan dengan nada provokasi, sindiran yang serasa merendah-rendahkan atau mempertikai kredibiliti kita secara peribadi. Namun, sesukar mana pun, kita mesti berusaha membuka hati dan minda untuk menerimanya. Nilailah dengan memohon petunjuk daripadaNya, juga memohon dicabut rasa takabbur dan segala penyakit hati agar hati dapat dijernihkan dan boleh membezakan kebenaran dari kebatilan. Bak kata Inggeris, try not to take it personal.

Namun apabila kebenaran itu sudah dapat kita hadam, tentu sahaja kita ghairah ingin berkongsi dan ingin orang lain menyedarinya juga. Ketika ini usahlah kita lupa keadaan ketika kita sukar untuk menerima kebenaran itu dahulu. Janganlah kita pula menyindir-nyindir sasaran yang belum tahu, hingga mengusik egonya. Janganlah kita mempersoalkan kenapa sangat sukar untuk dia menerima kerana latar belakang dan kemampuan setiap orang tidak sama.

Juga usahlah kita lupa yang kita mengambil masa bertahun-tahun, malah mungkin belasan tahun untuk sampai kepada tahap pemahaman yang benar. Anehnya apabila kita menyampaikan kebenaran itu, kita mahu sasaran terus menghadamnya dalam masa sekejap. Tambahan lumrahnya manusia tiada siapa yang senang ditegur. Sampaikanlah kebenaran dengan bahasa yang baik, nada yang lembut dan buanglah dari hati rasa lebih bagus dan lebih faham daripada sasaran. Soal yang disasarkan mahu terima atau tidak bukan dalam kuasa kita. Hati manusia Allah yang pegang dan hanya Dia yang boleh membolak balikkan.

Akhir zaman ini zaman kelabu. Sukar mahu membezakan yang hitam dan putih. Jika pun kita dapat membezakan itu dengan kuasa Allah jua, bukan kerana kehebatan kita membuat kajian, kerajinan kita kononnya mencari kebenaran berbanding orang lain. Betapa ramai yang banyak mengkaji tetapi tidak disuluh hidayah oleh Allah juga.

Kadang-kadang kita mungkin tertanya dan bingung memikirkan, tidakkah mereka sedar mereka mempertahankan perkara yang salah, menegakkan benang yang basah? Namun, dari sudut pandang mereka, benang itu tidak basah. Apa yang mereka nampak ialah tiang kukuh yang harus dipelihara. Percaya atau tidak, kebanyakkan perselisihan malahan pertumpahan darah berasas dari masing-masing yakin yang kebenaran adalah miliknya.

Benar, memang wujud golongan yang tidak sama sekali mahu menerima. Namun adakah itu dalam pengetahuan kita? Pengetahuan kita ini sangat-sangat terbatas untuk kita berputus asa menyuakan kebenaran kepada seseorang. Lupakah kita pada kisah Nabi Nuh a.s yang berdakwah hampir seribu tahun? Berhasil atau tidak bukan persoalannya, yang penting ialah usaha. Dalam kesungguhan berusaha, syaitan mungkin sahaja membisikkan ke hati, “Hanya kamu yang penat-penat berusaha. Kawan-kawanmu itu tidak ambil peduli. Mereka tidak sedar apa yang berlaku dan masih leka.” Maka ketika bisikan itu wujud di hati, ingatlah, hanya kerana kita tidak nampak apa yang dilakukan orang lain tidak semestinya mereka tidak terlibat menyebarkan kebenaran. Cuma mungkin mereka melakukannya dengan kaedah berbeza ataupun secara sembunyi.

Maka teruskan usaha dan berdoa agar ditunjukkan jalan yang benar bersama-sama keluarga, sahabat handai dan seluruh umat Islam serta yang belum Islam juga.


"Ya Allah Tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan berikan kami kekuatan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami yang batil itu batil dan berikan kami kekuatan  untuk menjauhinya"