Monday, May 07, 2007

Pesta Buku

Alhamdulillah, berpeluang lagi saya mengunjungi Pesta Buku. Bezanya kali ini saya terpaksa pergi pada hujung minggu, hari terakhir. Meski saya ingin sangat sebenarnya pergi pada hari kerja untuk mengelak kesesakan, tetapi dek kerana bimbang supervisor saya datang spot-check di lab, saya terpaksa berpuas hati dengan hari Ahad. Seperti dijangka, orang memang ramai. Tetapi tidak lah sesesak tahun lepas sebab ada lima dewan berbeza. Satu dewan khas dimonopoli Karangkraf, tetapi saya tidak beli apa-apa langsung daripada gerai-gerainya. Tahun lepas saya beli buku Ramlee Awang Murshid, Bagaikan Puteri. Saya perasan, ada buku-bukunya yang lain, tetapi saya agak kecewa dengan Bagaikan Puteri dan belum sembuh daripada kekecewaan itu.

Berkunjung ke gerai YADIM, saya beli tiga majalah MILENIA, RM2 senaskhah. Kemudian jurujualnya memberitahu, kalau beli lima dapat percuma DVD Reopen 911. Tidak pasal-pasal saya tambah beli dua majalah Aniqah. Saya memang pantang dengarperkataan percuma. Kemudian saya terjumpa buku Di Bawah Lindungan Kaabah karanganHamka di Crescent Books. Memang sudah lama saya teringin membeli. Tambahan ada diskaun 10%. Rupa-rupanya ada lagi novel-novel Hamka lain yang tidak pernahsaya tahu. Sudahnya saya borong empat sekaligus. Judul-judul yang lain: Angkatan Baru, Terusir dan Di Dalam Lembah Kehidupan. Merantau Ke Deli dan TenggelamnyaKapal Van Der Wijk saya sudah beli di Kinokuniya tahun lepas.

Saya seterusnya mencari gerai Dawama. Berbanding tahun lepas, gerainya agak kecil tahun ini,
mungkin ruang terhad agaknya. Saya tidak beli apa-apa di sini, tapi saya rasa teruja dan sedikit nostalgik apabila menjumpai buku-buku lama yang pernah saya baca masa kecil (Ada yang ayah saya beli dan ada yang saya pinjam dari perpustakaan sekolah rendah). Terutamanya buku berjudul Nyawa di Hujung Pedang karya Nasiruddin Murad (kalau tidak salah ingatan) yang mengisahkan Tanah Melayu semasa pendudukan Jepun. Buku itu kami adik beradik baca sampai tidak berkulit dan tercabut isinya, dan kini sudah hilang pun. Tetapi isinya sangat-sangat saya ingat. Teringin hendak tahu bagaimana rupa pengarangnya.

Kemudiannya saya mencari booth Al-Ameen, niat hendak membeli buku Bila Tuhan Berbicara karangan Faisal Tehrani. Berpusing-pusing, langsung ke tingkat atasnya. Rupa-rupanya di atas cumaada buku-buku akademik. Turun semula memeriksa senarai penerbit dan nomborbooth (sudah tersesat baru hendak menengok panduan) akhirnya dapatlah bertemuAl-Ameen. Saya beli juga buku Isa Kamari, Memeluk Gerhana dan kebetulan beliauada, saya dapat tandatangannya sekali. Menurut jurujual di situ, Faisal Tehrani juga ada datang, tetapi beliau turun ke bawah sebentar. Saya cuma tersenyum, kalau tahun lepas mungkin saya akan menunggu FT (sebenarnya saya datang khas ke Pesta Buku tahun lepas semata-mata hendak berjumpa FT :->). Tetapi zaman saya kemaruk FT telah berlalu, ada sejarah sebenarnya kenapa saya jadi tawarhati, tidak perlu lah diceritakan. Entri ini pasal Pesta Buku bukan? (Haha, saya bercakap macam FT kenal saya je)

Seterusnya PTSpula jadi persinggahan. Tetapi ramai sungguh umat di situ, saya langsung tidak bolehmencelah melihat buku-buku yang ada, lalu saya keluar sahaja. Di sebelah PTS ada Saba’ Islamic Media, ada dipasang vcd ceramah Yusuf Estes yang dijangka datang pada International Islamic Fair bulan Julai ini. Seperti biasa, ada siri ceramah Ahmad Deedat. Rasa sedikit bersalah kerana tidak membeli, tetapi ketahuilah sesungguhnya ceramah-ceramah mereka amat mudah didapati di Internet.Selaku Google dan YouTube addict, saya boleh mendakwa sedemikian. Tetapi secara jujur, saya rasa itu sesuatu yang baik kerana sesiapa pun boleh mendengar danmenadah ilmu penceramah-penceramah terbilang ini. Sekadar pendapat peribadi saya lah.

Apabila jam mencecah pukul satu, umat manusia semakin berpusu masuk. Saya dan adik-adik saya sudah rasa pening-pening, tambahan perut lapar. Maka kami pun keluarlah, lagipun insya Allah sudah habis kami ronda Pesta Buku. Destinasi seterusnya, The Mall untuk mengisi perut. Tahun depan, saya belum pasti saya ada di KL ataupun tidak. Entah-entah di luar negara, Australia mungkin? :D(Ya, ida_zy.. berangan.. berangan.. tesis pun tunggang langgang lagi)

p/s: lama betul saya tidak tulis panjang begini, rasa segar pula otak hehe

2 comments:

ida_zy said...

mintak maaf la kalau ada yg terbaca entri yg sgt teruk susun aturnya ini
saya x leh nk delete n edit kasi cantik sbb post ni cross drpd blog multiply saya dan saya x leh access blogger kat uia.
utk rupa paras yg cantik, sila pergi ke emwin.multiply.com ye
maaf sangat2

Anonymous said...

nak pinjam buku2 hamka bleyyyy?????????