Sepatutnya agenda utama saya ke Bandung adalah untuk menghadiri International Conference on Electrical Engineering and Informatics. Namun prioriti konferens telah jatuh menjunam ke tangga ke sepuluh. Satu hingga lima adalah jalan-jalan, dan enam hingga sembilan agenda shopping. Bersama teman sekursus dari Malaysia, Naim, kami rasa sangat-sangat diraikan di sana. Isteri labmate kami Zeldi berasal dari Bandung. Dini dan Zeldi sanggup mengorbankan masa membawa kami pusing-pusing seputar Bandung. Saya malah sempat dijamu makan tengahari di kediaman Pak Turnad, salah seorang pelajar PhD (di Indonesia, PhD digelar S3) UIAM. Saya hanya mengenali isterinya Kak Dilla lewat Yahoo Messenger, namun kali pertama bertemu bagai sudah kenal lama. Saya dilayan bagai ahli keluarga, terharu benar saya, sungguh. Meski saya tersangkak-sangkak berusaha memahamkan perbualan mereka di dalam bahasa Indonesia yang agak laju, kemesraan tetap terjalin tanpa dipaksa-paksa. Selain Zeldi, Dini, Pak Turnad dan Kak Dilla, seorang lagi teman sekursus pengajian master (S2 gelarannya di sana) di UIAM yang berasal dari Indonesia turut bersama-sama kami. Saya dan Naim memanggilnya Kak Winda. Mana mungkin saya lupa jasanya membantu saya membeli reload (di sana digelar pulsa), menukar wang ringgit ke rupiah, mendahulukan wangnya untuk banyak bayaran, malah menyiapkan belanjawan untuk saya supaya saya tidak tersasar, juga menuntun saya dijalanan. (saya memang ada sedikit masalah untuk mengawal budget huhu)
Saya dan Naim juga berpeluang menaiki Angkutan Kota, sebuah kenderaan seperti van yang berperanan seperti bas tambang. Gurau Zeldi, Angkutan Kota ini umpama Rapid Bandung. Menariknya, cara untuk kita meminta pemandu memberhentikan kenderaan adalah dengan menyebut, ”Ke kiri Pak.” Mula-mula, saya ingatkan setiap penumpang boleh sahaja mengarahkan pemandu membelok ke kiri, ke kanan dan ke mana-mana yang kita mahu. Rupa-rupanya, itu cara khusus minta diturunkan. Berjalan kaki di sekitar Bandung memang tidak melelahkan, susah untuk berkeringat lantaran udaranya yang sejuk. Suhunya sekitar 22 celcius berbanding KL yang boleh mencecah 36 celcius. Kak Dilla memberitahu, udaranya nyaman dan sejuk kerana Bandung terletak di perlembahan. Semasa di sana, kulit muka saya tiada sebarang masalah, malah hendak berminyak pun susah. Tidak hairan lah orang-orangnya berkulit putih melepak dan licin. Ala-ala cek mek molek Pasir Mas Kelate.
Destinasi utama kami, Institut Teknologi Bandung cantik sekali seni binanya. Saya dimaklumkan yang ITB telah ditubuhkan semenjak zaman penjajahan Belanda lagi. Patut lah reka bentuknya ada ciri-ciri kolonial. ITB (di sana disebut I Te Be) ada banyak tempat untuk kita bersantai- santai sambil studi. Saya paling suka dengan ruang khas yang disediakan ITB untuk persatuan-persatuan para pelajarnya. Boleh dikatakan setiap persatuan ada bilik khas, dan mereka dibenarkan untuk membuat mural, atau apa-apa contengan di situ. Tiada yang melarang. Kira macam ruang ekspresi agaknya. Dalam hal kebebasan mahasiswa berekspresi, saya rasa Malaysia harus lebih banyak belajar dari Indonesia. Seorang rakan saya memberitahu, ITB ini umpama MIT di rantau Asia. Saya kira itulah kelebihan universiti-universiti lama. Telah banyak cabaran dan dugaan dilalui seiring dengan peredaran zaman menjadikan universiti-universiti lama ini matang dan berkualiti.
Seperkara lagi yang wajib saya sebut, makanan-makanannya sungguh enak, masuk dengan selera saya. Menurut Kak Winda, mungkin kerana saya kuat masin maka saya menyukai makanan di sini. Katanya lagi, masakan Jawa lebih manis, yang masin-masin itu masakan Sunda. Dan saya baru tahu, ada martabak rupanya di Bandung. Semasa bersiar-siar di kota Bandung, Dini belikan saya dan Naim kerepek yang dipanggil PikSet, ringkasan bagi Kerepek Setan kerana rasanya yang boleh tahan pedas. Naim yang suka pedas memang menggemarinya, tetapi saya mendapati rasanya kurang masin meskipun pedas, jadi terasa ada kekurangan. Namun begitu makanan di ICEEI2007 sangat pelbagai dan lazat-lazat terutama pada malam Grand Dinner. Perut saya sampai jadi sebu, sudah tidak boleh masuk makanan lain. Pada malam Grand Dinner itu juga, kami berpeluang menyaksikan persembahan angklung oleh mahasiswa-mahasiswanya. Terus terang, itulah persembahan angklung paling hebat pernah saya saksikan. Bayangkan, mereka mengalunkan lagu National Geographic (kalau tidak salah) menerusi angklung. Teruja saya mendengarnya. Dalam hal kesenian, saya berpendapat orang-orang Indonesia lebih bagus appresiasi seninya. Pendapat saya lah. Jangan kata saya tidak patriotik pula :)
Tempat penginapan kami namanya Hotel Bumi Sawunggaling. Hotel ini milik ITB. Meski tiada bintang, tapi kami amat berpuas hati. Boleh lihat sendiri bagaimana rupanya di dalam gambar. Satu malam untuk bilik Superior, bayarannya cuma 295,000 rupiah lebih kurang bersamaan RM 120.00. Dibahagi tiga orang , cuma RM 40 semalam. Murah bukan? Lokasinya pun dekat dengan Kota Bandung, senang hendak membeli belah di Pasar Baru. Saya dan Naim tidak lepas peluang memborong kain pasang, kain batik dan kemeja batik di sini. Satu beg saya khususkan untuk kain-kain sahaja. :-p
Cuma satu yang saya tidak tahan, jalan rayanya macet amat. Saya memang tabik pemandu-pemandu di sini, dengan tiada garisan jalannya, kenderaan bertali arus malah kuda-kuda juga menggunakan jalan raya. Saya juga agak terkejut apabila peminta sedekah dan penjual-penjual singgah di tingkap kenderaan. Terkadang saya menemukan band dan penyanyi jalanan yang jauh lebih baik nyanyiannya dari sebilangan penyanyi Malaysia. Terbit juga rasa simpati dan kasihan serta terasa amat bertuahnya diri ini hidup di negara yang aman makmur. Apapun, mana mungkin saya bisa lupakan keramahan dan kemanisan senyuman warga Bandung. Ke mana-mana pergi saya disapa dengan senyuman dan kata-kata yang lembut. Pemergian saya ke Bandung ini juga mengajar erti setiakawan, betapa kita semua ini serumpun. Betapa kesibukan duniawi tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita meremeh-remehkan urusan melayani saudara-saudara kita.
Terima kasih Kak Winda, Zeldi, Dini, Kak Dilla, Pak Turnad atas layanan yang teramat mesra dan pengalaman yang tidak terbeli. Terima kasih Naim kerana sudi sama-sama berwisata di Bandung ini, sama-sama menempuh susah senang selama 3 hari. Terima kasih Kak Umi dan Abang Syamsuri (abang dan kakak ipar Naim) yang turut menemankan dan membantu saya di Bandung hingga ke Malaysia. Sesungguhnya saya bagai digamit-gamit untuk kembali ke Bandung, ada rezeki saya datang lagi, dengan keluarga saya pula barangkali.
percaya tak ini hidangan di warung tepi jalan?
dan kawan-kawan Abang Syamsuri.
2 comments:
assalamualaikum wr wb,
ini detri...masih inget kan? sepertinya Pak Turnad itu temen papa saya deh. Beliau dosen di Universitas Jenderal Ahmad Yani kan? Teknik Mesin? btw, aku susah bgt ya buka blog yang multiply :(
browsing through pictures of you and friends in ITB.....nice~ :) i luv the surrounding.
tangkuban perahu pun best jugak....lagi2 kalau makan strawberi yang dijual kat situ. sangat manis... (nasihat, baik makan sebelum menjelang malam ;>)
good info bout ITB. thanks :)
Post a Comment