Friday, September 21, 2007

Muhasabah, Hikmah dan Kaffarah


Setelah disemak arkib entri blog saya, ternyata saya jarang sekali bicara soal tesis. Entah kerana apa, saya juga kurang pasti, mungkin saya cuba berpura-pura yang tesis saya berjalan lancar, wallahua’lam. tetapi, kali ini saya ingin menulis perihal tesis saya.

Begini kisahnya, adapun intipati utama tesis saya ini adalah untuk menjalankan satu mekanisma yang bertujuan untuk memperolehi keputusan simulasi yang lebih baik daripada yang telah saya jalankan sebelum ini. (saya tidak mahu masuk kepada aspek teknikal, cukup sekadar itu). Perolehan results yang lebih baik daripada benchmark results adalah sangat penting dalam menentukan tahap kekuatan thesis contribution saya. Andai ia tidak tercapai, saya akan mengalami risiko dihentam examiners sewaktu viva nanti, lebih teruk lagi mungkin saja resubmission, nauzubillah. Sebetulnya mungkin bagi orang lain, apa yang saya buat ini senang sahaja, tetapi bagi saya yang kurang cerdik dalam programming ini, terkial-kial jugalah saya.

Semalam, seperti biasa saya menggodek-godek codes. Entah berapa banyak method dan algorithm yang saya tukar pun saya sudah tidak ingat. Seperti biasa, saya melakukan debugging and compiling. Entah bagaimana semalam, setelah saya extract data, saya dapati ada pengurangan kuantiti pada satu metric, yang mana bermaksud performance telah dapat dipertingkatkan. Gembira usah dikata, sampai bergenang air di pelupuk mata. Saya pantas melakukan sujud syukur. Namun, Allah punya rancangan untuk saya. Ketika saya melihat semula results, ternyata saya salah tengok, dan sebenarnya tiada perubahan pun. Saya diselubungi rasa marah, geram, bengang, bercampur-baur malah terasa dipermain-mainkan. Entah marah pada siapa, bengang pada siapa. Itulah kalau nafsu merajai diri.

Saya cuba menenangkan diri, mengambil Quran dan membacanya. Sampai kepada ayat ”sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar”. Bukan kebetulan, memang telah Allah tentukan agar saya bertemu ayat itu. Usai membaca Quran, anehnya ketenangan tadi yang mula hendak menyinggah, lenyap. Saya jadi marah dan masih terasa dipermain-mainkan. Astaghfirullah, buruk betul perangai. Akhirnya, saya mengambil bantal dan berbaring di atas tikar, cuba melelapkan mata. True escapist! Saya terlelap dalam 10 minit, dan terjaga. Saya memandang siling, tiba-tiba bagai mendapat pencerahan. Terngiang-ngiang di telinga saya, ”Kau nak marah pada siapa? Pada Allah? Kau rasa Allah main-mainkan kau? Padahal kau lagi banyak main-main dalam ibadah. Layakkah kau nak bengang dengan Allah?”.

Alhamdulillah Allah menyedarkan saya. Saya bingkas bangun, kebetulan hampir solat asar dan terus berwudhuk. Rasa malu yang amat sangat pada Allah. Saya yakin, itu memang balasan yang setimpal pada saya, kerana semasa saya mula-mula menyangka results saya sudah elok, saya sudah berangan-angan hendak bertemu supervisor. Terbayang-bayang senyuman dan pujian yang akan diberikan. Saya membayangkan selepas ini kalau ada yang bertanya status tesis saya, saya boleh jawab dengan bangga, ”cuma tinggal writing”. Itulah, terlampau risau pada pandangan orang. Padahal Allah sudah mengatakan, kalau kesukaan manusia yang kamu mahu itulah yang kamu dapat, bukan keredhaan Allah.

Alhamdulillah, saya bersyukur, bersyukur sangat-sangat kerana menyedarkan hambaMu ini ya Allah. Terima kasih atas tarbiahMu pada bulan yang mulia ini ya Allah. Sesungguhnya sifat putus asa bukanlah sifat hamba-hambaMu yang diredhai. Jauhilah aku daripada sifat tidak ikhlas dan riak ya Allah. Semoga kita semua diberi kekuatan menjalani tarbiah yang ditentukan olehNya. Amin..

3 comments:

mrs zyi said...

all the best, ida! semoga berkat bulan rmdhn ni, semuanya berjln lancar n dipermudahkn!

*sy pun x suka discuss psl thesis.. kenape ye? hehee..*

ida_zy said...

thanks zyi :)
all the best kat awk gak
sy ni single patutnye x de le bz ehhe
bz asik nak berehat ada la

agaknya kita x suka cite psl tesis
sebab x nak menyesakkan kepala kot
ada org rasa lega bile dia cite
tp personally, mebbe cite psl tesis
buat sy cam admit weakness agaknya

z4cque said...

sangat memahami..sob sob *..