Thursday, October 04, 2007

Nama Beta Sultan Alauddin

Tajuk : Nama Beta Sultan Alauddin
Pengarang: Faisal Tehrani
Penerbit: Aberdeen Books

Sebelum buku ini keluar, saya telah berpeluang membaca beberapa bab daripada buku ini dalam bentuk cerpen. Ironinya, cerpen yang merupakan bab terakhir buku ini telah saya baca jauh lebih awal dalam Majalah I. Semacam spoiler juga lah jadinya.

Ringkasnya, ini kisah tentang salah seorang sultan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah gelarannya. Baginda merupakan anakanda Sultan Mansur Syah dengan puteri Majapahit. Menariknya Sultan Alauddin merupakan Sultan yang sangat-sangat menekankan perlaksanaan syariat Islam dalam pemerintahannya. Baginda memang terkenal alim dan saksama orangnya.

Sasaran buku ini sebenarnya adalah kanak-kanak. Bahasanya pun mudah difahami tetapi tetap menarik. Secara jujurnya, saya berpendapat ada babak-babak yang boleh dikategorikan sebagai 18 SG. Tetapi tidak mengapalah, tidaklah ganas mana dibandingkan dengan filem dan drama bersiri yang sering ditonton di tv.

Tidak tahulah samaada disengajakan ataupun memang kisahnya begitu; akan tetapi saya mendapati kisah Sultan Alauddin mirip kisah hidup Khalifah Umar Abdul Aziz. Dari karakter, perjalanan hidup hingga pengakhirannya, ternyata ada persamaan. Waktu sekolah menengah, kisah Sultan Alauddin ada disentuh dalam subjek sejarah. Semasa itu saya membayangkan Sultan Alauddin seperti Khalifah Umar Al-Khattab (nenda Khalifah Umar Abdul Aziz).

Pengarang memang berjaya membuatkan kita rasa kagum pada Sultan Alauddin, malah kita jadi sangat-sangat kepingin menyaksikan pemerintahan pemimpin seumpama baginda sekarang. Ketampanan sosial (meminjam istilah Puan Ainon Mohd) Sultan Alauddin teramat menyerlah sepanjang pembacaan buku ini. Satu lagi kebetulan yang mungkin disengajakan, nama guru Sultan Alauddin ialah Nuh Ha Mim. Tidak dapat tidak saya terbayangkan Sheikh Nuh Ha Mim Keller. Tetapi pengarang pernah juga menggunakan nama Dr Lo' Lo' dalam buku 1511 Kombat. Ada maksud tersirat mungkin?

Pengakuan jujur daripada saya, saya menangis sewaktu membaca dua bab daripada buku ini. Bab yang mana, saya tidak mahu beritahu, nanti jadi spoiler. Rasanya inilah kali kedua saya menangis baca buku kanak-kanak. (Kali pertama saya menangis baca buku Harry Potter and the Half-Blood Prince pada bab majlis pengebumian (pengkebumian?) Dumbledore). Namun, tangisan yang ini lebih bermakna rasanya. Tangisan keinsafan dan kesedaran insya Allah. Betapa dunia Islam sangat memerlukan pemimpin seumpama Sultan Alauddin terutama dalam zaman yang penuh fitnah ini. A must read!

3 comments:

Tawel Sensei said...

Hmm..tak pernah lagi saya menangis bila baca buku. Nanti saya cuba-cuba cari buku ni. Kalau tak nangis juga, terpaksa la minta bantuan bawang ;)

ida_zy said...

terima kasih tawel sebab sudi datang sini and komen..

err.. perlu beri amaran awal
akak ni cengengeng orangnya
maka besar kemungkinan orang lain
tak akan menangis baca buku ni
tapi insya Allah mesti ada rasa sedih dan terkilan sikit2

dianz said...

kenapaaa ya... di indonesia tak pernah ada novel2 malaysia...