Monday, May 29, 2006

Datang Ujian Buat Renungan

Saat saya dan sahabat-sahabat dalam keseronokan merancang untuk menghadiri majlis pernikahan Yus di Perak, saya dikejutkan dengan perkhabaran tentang gempa bumi di Jogjakarta. Ketika itu, saya belum pasti dengan jumlah mangsa korban serta nilaian kemusnahannya. Hanya pagi ini saya berpeluang membaca berita terkini tentang keadaan di Jogjakarta. Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bertimpa-timpa ujian Allah timpakan pada saudara-saudara kita di Indonesia. Hendaknya janganlah ada yang menuding tangan menyalahkan itu dan ini kepada mereka. Cukuplah penderitaan yang mereka alami, dan kita selaku jiran terdekat sewajarnya menghulurkan bantuan yang termampu. Moga musibah yang menimpa mereka kita jadikan renungan untuk bermuhasabah. Tidak mustahil Allah timpakan ujian seumpama itu atau mungkin lebih teruk pada kita.
Berikut ialah petikan daripada salah satu artikel yang ditulis selepas bencana Tsunami di Aceh pada Disember dua tahun lalu yang saya kira masih relevan untuk kita buat panduan:
Terdapat sebahagian umat Islam yang memiliki sifat angkuh di dalam diri mereka di mana dengan keangkuhan tersebut mereka berkata “padan muka” kepada mana-mana kaum yang ditimpa musibah, sekalipun kaum tersebut seagama dengan mereka. Sebelum ini apabila berlaku banjir besar di Bangladesh, penulis pernah mendengar di antara umat Islam ada yang berkata: “Itulah azab Allah yang melanda. Orang Bangla tu banyak yang tak betul Islam mereka!” Apabila berlaku gempa bumi di bandar Bam di Iran yang mengorbankan puluhan ribu nyawa, ada di antara umat Islam yang berkata: “Azab Allah turun kerana mereka itu orang Syi‘ah yang sesat!”

Semua ini adalah penyakit umat Islam yang perlu diubati segera. Mencari-cari ayat bagi menjustifikasikan sesuatu musibah dan/atau menuduh sesuatu musibah adalah azab Allah kerana keburukan sesuatu kaum merupakan satu kesalahan yang amat besar. Ini kerana:

1. Mereka menyalahgunakan ayat-ayat Allah dengan memaksa tafsirannya. Mereka tidak menjadikan al-Qur’an sebagai pemimpin, sebaliknya merekalah yang memimpin al-Qur’an agar secocok dengan apa yang mereka kehendaki.
2. Mereka menuduh sekian-sekian kaum dengan sesuatu keburukan tanpa sebarang bukti yang kukuh di sebaliknya. Asalkan sesuatu kaum ditimpa musibah, mereka menuduh kaum tersebut sebagai telah melakukan keburukan.
3. Mereka bersikap angkuh, seolah-olah diri sendiri dipenuhi kebaikan sehingga dikecualikan oleh Allah daripada musibah. Padahal yang benar mungkin disebaliknya. Ini kerana boleh jadi Allah juga telah menyediakan musibah bagi mereka, hanya tempoh perlaksanaannya ditangguhkan sebentar.
4. Mereka telah memperkatakan sesuatu terhadap Allah tanpa ilmu. Apabila mereka berkata “Itulah azab Allah”, seolah-olah mereka mewakili Allah dalam menerangkan kenapa sesuatu musibah itu berlaku. Memang, semua yang berlaku adalah dengan kehendak Allah. Akan tetapi kehendak Allah dipenuhi dengan pelbagai sebab dan hikmah di sebaliknya, jauh berbeza dengan kehendak manusia.
Untuk lebih mendalami poin terakhir di atas, perlu diketahui bahawa apabila musibah melanda sesuatu kaum, ia memiliki beberapa kemungkinan di sebaliknya. Di antara kemungkinan tersebut adalah:
1. Allah mengasihi kaum tersebut dan ingin memberi mereka satu peringatan agar kembali kepada kebenaran.
2. Allah mengasihi kaum tersebut dan musibah itu sebenarnya sesuatu yang baik bagi mereka dari pelbagai sudut lain yang hanya diketahui oleh Allah. Apa yang manusia pandang sebagai buruk mungkin sebenarnya baik di sisi Allah dan apa yang manusia pandang sebagai baik mungkin sebenarnya buruk di sisi Allah.
3. Allah mengasihi kaum tersebut dan ingin memberi mereka kehidupan akhirat yang mereka idam-idamkan. Musibah yang menimpa merupakan syahid kecil sebagai ganti kepada syahid besar yang diidam-idamkan oleh para mujahidin.
4. Allah menjatuhkan musibah kepada kaum tersebut sebagai penghapus kepada kesalahan yang mereka lakukan. Kadar musibah adalah selari dengan kadar dosa mereka. Namun selepas itu di Alam Barzakh dan seterusnya, kaum tersebut bebas daripada apa-apa azab.
5. Allah menjatuhkan musibah kepada kaum tersebut sebagai azab yang membalas keingkaran mereka terhadap kebenaran.
6. Allah ingin menguatkan kaum tersebut, lalu diberikan musibah sebagai sesuatu yang dapat membina jatidiri mereka.
7. Allah ingin menguji kaum yang terselamat daripada musibah, sama ada mereka mensyukuri keselamatan yang mereka peroleh atau bersifat angkuh terhadapnya. Sesiapa yang mensyukurinya maka dia lulus ujian, sesiapa yang bersikap angkuh maka dia gagal ujian.
Apabila musibah menimpa sesuatu kaum yang lain, kita tidak dapat pastikan sama ada ia disebabkan oleh kemungkinan 1, 2, 3, 4, 5 atau 6 kerana semua itu adalah hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kita juga tidak boleh berkata bahawa kemungkinan tersebut terhad kepada 7 yang tersenarai di atas sahaja. Apa yang pasti ialah kemungkinan yang ke-7 jatuh kepada kita yang terselamat daripada musibah, sama ada kita mensyukurinya atau bersikap angkuh terhadapnya.

Mensyukuri yang dimaksudkan ialah bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa dia terselamat daripada musibah tersebut. Kesyukuran ini dilanjutkan kepada membantu kaum yang ditimpa musibah dengan apa jua cara yang boleh seperti bantuan kewangan, bantuan harta benda, bantuan kepakaran dan sebagainya.
Keangkuhan yang dimaksudkan ialah bersifat angkuh kononnya dia dipenuhi dengan kebaikan sehingga menganggap Allah telah mengecualikan dia daripada ditimpa musibah. Keangkuhan ini dilanjutkan kepada menuduh bahawa kaum yang ditimpa musibah tersebut memang layak menerimanya kerana keburukan yang mereka perbuat. Bahkan ini mungkin dilanjutkan kepada mengemukakan ayat-ayat tertentu yang dipaksa tafsirannya bagi menjustifikasi suasana musibah yang menimpa.
Melalui artikel yang ringkas ini penulis ingin mengajak diri penulis sendiri dan para pembaca sekalian agar menganalisa diri kita sendiri. Adakah kita tergolong di kalangan orang-orang yang bersyukur atau angkuh? Sudahkah kita menterjemahkan kesyukuran tersebut kepada menghulurkan bantuan kepada mangsa yang ditimpa musibah?

Marilah kita membanding diri kita dengan umat-umat daripada agama selain Islam. Dalam suasana kita berkata: “Itulah kaum yang diturunkan azab Allah”, umat-umat agama lain berkata: “Itulah kaum yang sangat-sangat memerlukan pertolongan”. Dalam suasana kita berkata: “Demikianlah kesalahan yang dilakukan oleh satu kaum sehingga layak ditimpa musibah”, umat-umat agama lain berkata: “Demikianlah musibah yang menimpa satu kaum sehingga mereka layak menerima bantuan kita”. Dalam suasana kita sibuk mencari ayat untuk menjustifikasikan musibah yang menimpa satu kaum, umat-umat agama lain sibuk mencari peralatan Search and Rescue untuk dibawa bersama dalam misi penyelamat. Dalam suasana kita merasa selesa mengingati diri yang terselamat daripada musibah, umat-umat agama lain merasa berat mengingati mereka yang ditimpa musibah. Sungguh, sangat berbeza sikap umat Islam berbanding umat-umat agama lain.

Marilah dari saat ini kita berubah sikap. Berubah bukan sahaja ke tahap yang menyamai umat-umat lain tetapi melebihi mereka. Bukankah berlumba-lumba membuat kebaikan sesuatu yang dituntut oleh Islam:
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [al-Baqarah 2:148]
Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. [al-Maidah 5:48]
Dipetik daripada artikel Tuhan Terlepas Satu Hari tulisan Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

3 comments:

mfrstudio said...

semoga Allah melindungi umatNya yang bertaqwa dan menempatkan roh hamba-hambaNya yang beriman di tempat tinggi lagi mulia.

Anonymous said...

hmm...betul ida, bagi saya belum tentu apabila seseorang itu mati dalam keadaan yang sangat dasyat bermakna dia telah melalui satu azab yang hebat dan mati dalam keadaan menderita, disebabkan oleh bla...bla...bla...
mana kita tahu, ntah2 waktu dia mati itu malaikat cabut nyawanya dengan sangat lemah lembut dan Allah telah hilangkan deria dan deritanya dengan hidangan gambaran syurga...
Manusia yang sombong pula cepat sangat buat telahan... kan? entahlah, saya tak tahu.
Saya berdoa.. untuk mereka yang telah tiada dek gempa bumi, dan untuk saya yang tak tahu apa pula punca ajal nanti...

Andin Salleh said...

Salam

Banyak yang tidak diduga
Banyak yang tidak kita ketahui
Alangkah kerdilnya kita, sebagai hamba-Nya.