Wednesday, March 29, 2006

Pesta Buku Antarabangsa KL 2006 - Bahagian 2

i. Bertemu Faisal Tehrani

Tujuan utama saya dan sahabat saya Roza memilih tarikh 28 Mac untuk berkunjung adalah semata-mata kerana ingin membeli novel ‘Tunggu Teduh Dulu’ karangan Faisal Tehrani. Kenapa mesti hari itu juga? Sebab Faisal Tehrani (FT) dijadualkan berada di gerai Dawama (Dewan Bahasa & Pustaka) pada hari tersebut, dan buku itu diterbitkan beliau sendiri, tidak dijual oleh mana-mana pihak penerbitan lain. Melalui blog beliau, kami dimaklumkan yang buku TTD boleh dibeli semasa beliau berada di Pesta Buku. Secara rahsia, katanya.

Tepat jam dua, FT sudah muncul di gerai Dawama. Walaupun pada mulanya kami agak kekok hendak menegur memandangkan hanya kami yang sedang menanti FT rupa-rupanya, tetapi alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar. FT seorang yang peramah, memudahkan kami berinteraksi dengannya. Pembelian buku TTD yang kononnya secara rahsia itu menarik perhatian pekerja-pekerja DBP yang berhampiran dengan kami, membuat kami berasa serba salah. Rupa-rupanya kehadiran FT di situ bertujuan untuk mempromosikan majalah Tunas Cipta terbitan DBP. Semasa saya mendapat tahu FT akan berada di gerai Dawama, saya rasa hairan juga kerana setahu saya kebelakangan ini tiada buku beliau diterbitkan oleh DBP. Sewaktu FT menandatangani buku-buku kami, pekerja-pekerja DBP yang duduk berdekatan bersemangat mempromosikan Tunas Cipta kepada kami. Bermula bulan ini, FT memulakan novel bersiri terbarunya di Tunas Cipta. Ketika saya memberikan persetujuan untuk membelinya, salah seorang pekerja DBP (saya tidak tahu pangkatnya, minta maaf), pantas memberitahu FT,”Tengok Faisal, aku telah berjaya meyakinkan peminat kau untuk membeli Tunas Cipta.” Saya cuma tergelak di dalam hati. Sebenarnya tujuan saya membeli majalah tersebut didorong rasa bersalah membeli buku bukan terbitan DBP di gerai DBP. Kerap juga saya membeli sesuatu barang itu kerana kasihankan penjualnya. Saya tidak sampai hati melihat si penjual memujuk-mujuk pelanggan untuk membeli. J

Saya mula mengenali nama Faisal Tehrani melalui cerpen Kerana Manisnya Epal yang disiarkan di Dewan Siswa. Saya tidak ingat tahun bila, yang pastinya saya sedang menuntut di sekolah menengah, kemungkinan besar tingkatan dua atau tiga. Saya suka benar cerpen tersebut, terbayang-bayang kemanisan epal yang pelbagai. Yang saya ingat, ada epal yang rasanya seperti nanas. Masa membacanya saya rasa amat takjub dengan kekuasaan Allah menciptakan begitu banyak kepelbagaian hanya pada satu jenis buah sahaja. Bayangkan, itu baru buah epal. Bagaimana pula dengan ciptaan-ciptaan lain yang lebih kompleks dan unik, terutamanya kita manusia. Subhanallah!

Sebelum FT, saya sudah mula mengenali nama-nama seperti Hizairi Othman, Nisah Harun, Puteri Al-Inshirah, Maznah Mukhtar, Arfah Ahmad dan ramai lagi di Dewan Siswa yang saya sudah lupa nama mereka. Kemunculan FT telah menambah koleksi penulis-penulis kegemaran saya. Apabila saya memasuki matrikulasi UIAM pada 1998, tahun DSAI ditangkap, semangat reformasi memang meluap-luap terutamanya di UIAM ketika itu. Maklum sahaja, DSAI merupakan presiden UIAM ketika beliau ditangkap. Waktu itu, kami biasa membaca Harakah, Tamadun dan penerbitan-penerbitan lain yang secara tiba-tiba muncul ketika itu. Waktu itu juga, saya menyedari kemunculan artikel-artikel FT di dalam Tamadun dan satu lagi akhbar yang saya telah lupa namanya. Kalau tidak silap saya, ada satu novel bersiri FT dalam Tamadun, juga saya telah lupa tajuknya. Kemudian ketika di kampus utama Gombak saya mula konsisten membeli majalah Al-Islam. Ada juga cerpen-cerpen FT disiarkan dalam Al-Islam. Dua cerpen yang saya sangat ingat kerana saya tertarik dengan jalan cerita dan mesejnya: Syahid Raja Api dan Imam Muhaimin. Saya merasakan kedua-dua cerpen ini merupakan titik-tolak kepada novel 1515. Ini pandangan saya sahaja, entah betul entahkan tidak. Kadang-kadang saya beli juga majalah Wanita, dan ada juga saya mendapati cerpen-cerpen FT, tetapi tiada yang memberikan kesan sangat kepada saya.

Apabila Astora Jabat mengambil-alih jawatan editor untuk majalah Al-Islam, hati saya menjadi tawar untuk membelinya. Saya ada juga cuba membeli keluaran pertama Al-Islam di bawah Astora Jabat, tetapi banyak sangat perkara yang saya tidak setuju. Saya kemudiannya beralih kepada Majalah I. Dalam Majalah I, saya terjumpa pula kolum Kembara Iman oleh Faisal Tehrani. Kebetulan pula, adik bongsu saya bakal menduduki SPM, jadi kakak saya langgankan untuknya majalah Fokus SPM. Saya ‘bertemu’ lagi dengan FT melalui kolum Emel oleh Faisal Tehrani. Memang telah ditakdirkan Allah nampaknya. Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi. Bermula dengan novel 1515, saya kemudiannya membeli Detektif Indigo, Advencer Si Peniup Ney, 1511H Kombat dan yang terbaru Tunggu Teduh Dulu. Saya juga sedang merancang untuk membeli Surat-Surat Perempuan Johor apabila biasiswa saya masuk nanti. Saya tidak merasa rugi membeli buku-buku FT kerana ada sahaja perkara baru yang saya ketahui setelah membacanya. Tidaklah rasa diperbodoh-bodohkan.

Secara jujurnya, saya memang teruja dan tidak dapat menyembunyikan rasa seronok bertemu dengannya. Saya rasa sesiapa pun begitu bila bertemu orang yang dikagumi. Akibatnya, Roza tidak habis-habis mengusik saya sepanjang perjalanan balik sehingga saya jadi malu sendiri. Kasihan Roza, banyak kali juga lah cubitan dan tamparan saya hinggap di tubuhnya dek kerana saya tidak tahan usikan. Saya menenangkan hati, biar minat Faisal Tehrani daripada minat Mawi. Shima mesti marah kalau dia baca kenyataan saya ini. :D

ii. Bertemu Ramlee Awang Murshid

Novel-novel Ramlee Awang Murshid diperkenalkan oleh kakak sulung saya kepada kami adik-beradik beberapa tahun lepas. Seronok juga mengetahui ada novel-novel thriller dan misteri di dalam bahasa Melayu. Saya mula membaca Tombirou, Ranggau dan Mandatori. Antara tiga novel ini, saya paling suka Mandatori. Pada pendapat saya, kisah mengenai seseorang yang terperangkap dalam pelbagai personaliti memang menarik. Saya rasa Mandatori sangat sesuai difilemkan, Rosyam Nor sesuai memegang watak utamanya.

Ramlee Awang Murshid juga merupakan seorang penulis yang banyak membuat kajian dalam menghasilkan novel. Contohnya untuk Mandatori dan Rahsia Perindu (pinjam daripada teman sebilik), banyak yang dapat saya pelajari tentang ilmu psikologi. Saya turut membaca A.D.A.M. dan Satu Janji yang dibeli oleh adik saya. Pei-Pan pula saya pinjam dari perpustakaan. Kemudian, kakak sulung saya membeli pula Tombirou Terakhir. Hasilnya, Tombirou Terakhir pula jadi kegemaran saya bersama-sama Mandatori. Gaya penulisan Ramlee banyak mengingatkan saya kepada stail John Grisham, penulis paling laris di Amerika Syarikat. Jalan ceritanya pantas dan mendebarkan, membuatkan kita tidak sabar membuka helaian seterusnya.

Saya sama sekali tidak menyangka dapat bertemu Ramlee Awang Murshid di Pesta Buku. Asalnya saya ke gerai Karangkraf hanya untuk memperbaharui langganan Majalah I, kemudian saya sengaja lalu di bahagian Alaf 21. Tiba-tiba saya ternampak beliau sedang berbual-bual dengan seorang peminat sambil menandatangani buku. Apa lagi, saya terus membeli buku Bagaikan Puteri yang telah saya baca ulasannya di akhbar The Star. Reaksi pengkritik tersebut positif menyebabkan saya tidak teragak-agak membelinya. Padahal sebenarnya saya inginkan tandatangan Ramlee Awang Murshid! :D. Sewaktu menandatangani buku yang saya beli, beliau mempromosi novel terbarunya: Hatiku Terpaut di Harajuku. Baru tiga hari sampai, katanya. Alahai, walaupun saya teringin, tetapi belanjawan saya sudah terlebih. Duit yang tinggal di dalam dompet saya pun hanya cukup untuk belanja tambang balik dan makan malam serta makan tengahari hari seterusnya. Bukan tidak boleh mengeluarkan duit dari mesin ATM, tetapi saya tidak sedap hati kerana aliran wang keluar saya sangat kencang akhir-akhir ini. Alhamdulillah, memang wang simpanan masih banyak tetapi saya kena lah beringat-ingat. Semasa senang lah kita menyimpan. Saya berkira-kira hendak membaca ulasan Hatiku Terpaut di Harajuku dahulu sebelum membelinya. Insya Allah, bila biasiswa masuk nanti akan saya pertimbangkan. Lupa pula hendak beritahu, Ramlee Awang Murshid ini juga peramah orangnya!

3 comments:

Anonymous said...

Salam Takzim... Bagus dan cantik punya tulisan... http://novelisidaman.blogdrive.com/

ida_zy said...

terima kasih novelis idaman
saya baru hendak bertatih :)

Anonymous said...

Best giler! Sangat bernafsu saya baca tulisan kak ida. Semoga cepat jadi novelis, tak sabar rasenye nak bace novel tulisan kak ida.Chayo! teruskan berusaha.