Tuesday, May 02, 2006

Diskusi Pagi Hari Buruh

Pagi Hari Buruh. Cuti umum. Baru semalam kami adakan sekali lagi acara makan-makan tidak formal. Asalnya saya dan Shada bercadang mahu sediakan masakan ringkas-ringkas sahaja, entah macamana jadi besar-besaran pula. Tambahan pula Roza dan Zakiah bermurah hati menyumbang masakan bubur nasi beserta koktel buah-buahan. Bagai ular sawa kekenyangan kami jadinya. Apa pun Alhamdulillah, kami amat mensyukuri rezeki kurniaan Tuhan :D.

Bubur nasi masih banyak berbaki. Begitu juga sardin dan masakan Jawa khas air tangan Shada. Saya dan Kak Winda, teman sekursus dari Indonesia berbesar hati mengambil tanggungjawab menghabiskan juadah yang tinggal. Sambil tangan pantas menyudu bubur ke mulut, borak-borak kosong kemudian entah bagaimana beralih ke topik ‘wajarkah wanita bekerja atau menjadi suri rumah tangga?’. Seraya sekejap-sekejap mencicipi teh O panas, saya mengujarkan, "Kalau kak Winda diberi pilihan, mana satu yang kak Winda pilih? Bekerja atau duduk di rumah?” Kak Winda yang telah berumahtangga dan bakal menerima cahaya mata kedua ini terus sahaja menjawab, "Kalau lah boleh, tentu sahaja aku mahu duduk di rumah. Aku mahu menjalankan kerja-kerja sosial sahaja yang tidak perlu mengambil masa yang banyak.” Begitu lebih kurang jawapannya.

Saya mengangguk-angguk mengiyakan, kemudian menyatakan, "Saya pun kalau boleh mahu jadi suri rumah sahaja.” Kenyataan ini sudah beberapa kali saya suarakan di hadapan teman-teman. Sekadar pengulangan. Mendengar jawapan saya yang bernada sokongan, Kak Winda langsung bercerita tentang masyarakat Jepun (suami Kak Winda graduan universiti Jepun) yang mana kaum wanitanya mula menjadi suri rumah semenjak 1950an. Rentetan dari itu, negara Jepun berkembang maju bilamana kaum lelakinya dapat menumpukan sepenuh perhatian pada pekerjaan. Sesungguhnya peranan wanita di rumah amatlah besar hingga Jepun mampu mengecap pembangunan sedemikian pesat meski pernah menempuhi zaman kesusahan pasca perang.

“Sebetulnya, aku bukan menentang emansipasi,” berkali-kali Kak Winda menegaskan. “Akan tetapi Allah memang telah jadikan lelaki itu tugasnya mencari nafkah, yang wanitanya mengurus rumah. Andai lelaki dan wanita mengambil tempat dan peranan yang sewajarnya, maka harmoni lah negara. Wanita yang bekerja itu sebenarnya hanya mahu merealisasikan self actualization.” Perbualan kian rancak, tangan kanan saya juga turut rancak menyenduk bubur dari periuk ke mangkuk yang telah kosong. Isi sardin dikuis-kuis sedikit digaul ke bubur nasi yang telah bercampur kuah sardin. Enak! Kak Winda yang tadinya cuma menghirup kuah masakan Jawa Shada mula menyenduk nasi putih pula ke mangkuk. Seperti saya, dia turut menggaul nasi dengan isi dan kuah sardin.

Dari negara Jepun, diskusi mengambil negara Jerman pula sebagai tumpuan. “Jerman itu tampaknya seperti negara maju bukan, tetapi sebenarnya sudah semakin mundur,” Kak Winda memulakan bicara tentang Jerman. “Kaum Hawanya telah mengambil-alih posisi dan jawatan yang berpangkat tinggi, lalu ramai kaum lelaki jadi penganggur dan gelandangan. Bukankah lebih baik andai jawatan-jawatan itu diberi kepada lelaki-lelaki penganggur. Jikalau tidak, bagaimana mereka mahu menampung perbelanjaan keluarga?” Isi ikan sardin saya kunyah lambat-lambat. Rasa lemak masin bertebaran dalam mulut. Bicara Kak Winda bersipongang (sudah lama teringin hendak guna perkataan ini hehe) dalam ruang fikiran. Saya cuba mencerna intipati diskusi sepertimana saya berhasil mencerna bubur nasi berkuah sardin.

“Aku tidak menentang emansipasi,” lagi-lagi Kak Winda menegaskan. Dari negara Jerman, Kak Winda mengambil tanah kelahirannya, Indonesia pula sebagai contoh. “Di desa-desa kami, ramai wanita bekerja di negara-negara Arab sebagai maid. Mereka malah boleh kirim wang mencapai RM1000 ke kampung. Akibatnya, si suami di kampung rasa rendah diri dan tidak berguna ekoran gaji mereka lebih rendah. Langsung jadi pemalas, bermain kayu tiga malah ada yang melakukan jenayah untuk mendapat wang lebih.” Terpaku juga saya mendengar penjelasan panjang lebarnya itu. Namun lidah masih berupaya mengecapi keenakan bubur nasi bergaul isi sardin. Sesekali teh O panas diteguk. Manisnya ala-ala manis buah.

“Masalahnya, tiada guna hanya berceramah kepada wanita-wanita ini supaya pulang ke negara asal dan berhenti kerja. Penyelesaian perlu diberikan kerana mereka ini memang perlu wang,” sambung Kak Winda lagi, masih tentang situasi di tanah tempat tumpah darahnya. Saya tidak tahu bagaimana mahu mengaitkan permasalahan ini dengan negara Malaysia kerana sememangnya saya kurang arif. Lebih baik berdiam diri daripada mengeluarkan statistik dan teori yang entah betul entahkan tidak. Namun untuk membiarkan kesunyian mengisi ruang, serasa tidak wajar pula.

Lalu saya balas, "Saya percaya, walau setinggi mana pangkat seseorang wanita itu, jauh di sudut hati sebenarnya mereka ingin menjadi suri rumah.” Saya memang benar-benar berpandangan demikian, kerana fitrahnya wanita itu berkeinginan untuk mendidik sendiri anak-anak dan dalam masa yang sama menguruskan keluarga. Bukankah keluarga itu merupakan unit terpenting dalam sesebuah negara? Bak kata Kak Winda, wanita memang punya pengaruh besar dalam sesebuah keluarga. Andai setiap keluarga rukun damai, sudah tentu negara turut menerima kesannya.

Bubur nasi berlauk sardin sudah saya habiskan. Beralih pula pada longgokan kentang goreng dalam tupperware yang sudah mula keras strukturnya. Namun tidak saya endahkan, pantas sahaja jejari-jejari kentang saya cicah dalam sos cili dan menyuapnya ke dalam mulut. Sudah saya cadangkan pada Shada agar lenyekkan kentang-kentang goreng yang banyak ini dengan bancuhan air panas agar boleh dijadikan cekodok. (tips ini saya dapat dari Majalah Anis, tetapi belum pernah mencuba)

“Kalau terpaksa bekerja sekalipun, pastikan suami yang lebih sibuk daripada kamu. Biar kamu yang menyambutnya pulang, bukan sebaliknya,” tutur Kak Winda bagai membuat kesimpulan sekaligus menutup diskusi pagi itu. Perut sudah kenyang, hati terasa lapang, dan pinggan-mangkuk kosong di hadapan kami bagai menuntut-nuntut mohon dibersihkan.

9 comments:

munirah hayati said...

aduhai, sejuknya hati saya membaca bahasa bicara ida yang penuh bermakna ini. :) tenang sedikit bilau kacau di sini.

self-actualization tu seperti yg didalam teori piramid Maslow kah?

ida tahu, saya juga sering memikir2 perkara yg sama. ada gelintir wanita yang menentang idea duduk di rumah, bahkan memandang rendah pada suri - suri. ada pula yg terpaksa bekerja kerana lelaki dalam keluarga mereka tidak mampu menghadapi ombak persaingan di dunia luar yang keras.

eh, ida kalau di- touch up sikit entry kali ini saya rasa boleh dihantar ke ruangan cerpen majalah Nur lah! seriously!

take care

Anonymous said...

yup...macam cerpen...bes bes...ada tokoh jd cerpenis or novelis rupanya ida ni..hehe...keep it up!

Anonymous said...

mm..ida bagus topik ni...

pada sayalah, saya tabik para wanita bekerjaya yang memilih untuk menjadi surirumah..bukan senang nak buat keputusan mcm tu. Mcm2 aspek kene pikir tapi mereka memilih anak dan suami sebagai prioriti...syabas untuk mereka

kalau ikutkan saya pun teringin jd surirumah tapi tak tau ler ada tak keberanian..tapi sementara sedang ada rumah tapi belum bertangga ni takpelah takyah ler pikir dulu.

kelebihan wanita berpelajaran, bekerjaya tapi menjadi surirumah ni mereka mempunyai lebih masa untuk mengenali emosi anak dan boleh mengenalpasti pendekatan yang dinamik dan proaktif dlm mendidik anak2 ... trade off yang biasa didengar "Quality vs Quantity"

entahler semua org buat keputusan bergantung pada pengetahuan, pengalaman dan keadaan masing. Mudah-mudahan bila masa itu tiba kita membuat pilihan yang bijak dan tepat berdasarkan prioriti masing2

Anonymous said...

maafler..comment saya kat atas tuh bahasa melayunya sangat ler berterabur..hehe mamang takde bakat jd novelis..

Anonymous said...

eh, dah ada gambar :) teringat masa belajar dulu2 kalau buat potluck kat bilik kawan2

apsal tak ajak kite? :P

ida_zy said...

thanks sume for the comments
isu ni kalo gov leh wat kajian betul2 bagus gak...

Anonymous said...

kalau kiter pun kalau boleh nak jadi surirumah....nak tanam pokok bunga banyak2 keliling rumah..nak tanam sayur..nak buat hidroponik tanam sayur...nak masak sedap2 utk suami bila dia balik umah..nak praktikkan urutan (massage) style jepun pada suami..muhahahaha..pastu ajar dia supaya dia buat pada kita pulak..
saper yg nak ilmu masaage ni kena bayar..duaposen haa.....

Anonymous said...

Ida,saya totally setuju ngan kak winda. Negara2 maju cam jerman n jepun, wanitanya hampir semua berpelajaran tetapi surirumah, mcm mak angkat sy ada degree tp housewife n kelebihannya, dia tau apa yg terbaik untuk rumah dia dan anak2 dia...dlm erti kata tau yg sebenonya-foresee..yang menyebok nk keja ni wanita2 negara membangun/underdeveloped jer...nk tolong family la, insecurela, klu ekonomi negara stabil, takdernya sy nk keja. Nak tau psikologi anak tak perlu keja, belajar-get updated. Kan ker belaja perlu sampai liang lahad? Mungkin pendapat saya agak keras tp tu la, quality >> quantity hanyalah satu bentuk escapism wanita yang nk kerja.

Anonymous said...

Ida,kak ani pun teringin sangat nak berenti keja, nak mengasuh 4 orang anak yang tengah belajar bagaimana untuk menjadi manusia yang beriman dan bertakwa. Hakikatnya, bila balik dari kerja, badan dah penat, otak dah malap, nak marah je..tapi mujurle ada maid, jadi degree kemarahan tu menurun bila tengok semua kerja rumah dah selesai..Walaubagaimanapun, hasrat untuk menumpu sepenuh perhatian pada anak2 selalu tidak dicapai sepenuhnya..ada je kerja pejabat yang perlu difikirkan segera...jadi ajar anak2 pun main segera je...Kalaulah kak ani seorang suri rumah, alangkah manisnya..alangkah bertuahnya anak2 mendapat seorang mama yang sentiasa di sisi mereka siang dan malam...memandu mereka ke jalan yang lebih sempurna..

Ironinya, kak ani masih perlu berkerja...banyak hutang bank..kereta..rumah..asb...