Thursday, March 23, 2006

Another Beginning

Jangan gosok mata anda. Tarikh yang anda lihat untuk entri di bawah adalah benar. Seratus peratus benar. 21 Julai 2004, hampir dua tahun dulu. Melalui entri di atas juga anda boleh mengetahui yang saya telah bertangguh dari tahun 2003 untuk mula berblog. Maka tanpa segan silu saya mengumumkan ini adalah penangguhan kali kedua. Dan harapnya tidak lah saya bertangguh lagi untuk kali ketiga, insya Allah. Sikap bertangguh saya ini memang kronik, tetapi jangan risau. Saya telah pun meminjam sebuah buku bertajuk ’The Procrastinator’s Guide to Success’ karangan Lynn Lively. Ironinya, saya masih belum berjaya habis membacanya. Saya baru masuk bab ketiga daripada 13 bab. Agaknya harus saja saya tukar tajuk entri ini kepada “Bertangguh-tangguh Tidak Membawa Ke Mana.”

Baik, kembali pada tajuk asal. Merujuk kepada entri pertama saya, saya ada menyebut tujuan utama saya memulakan blog adalah untuk memberi inspirasi kepada pembacanya. Setelah 2 tahun berlalu, seiring dengan penambahan usia saya fikir ada satu lagi sebab yang boleh tahan pentingnya. Saya ingin memperbaiki kemahiran menulis baik dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Kemahiran menyuarakan pendapat saya dalam bentuk lisan tidaklah begitu bagus, walaupun dalam kepala saya ada banyak perkara yang hendak saya suarakan. Kalau membuat lawak, lagi lah saya tidak mahir. Cerita yang sepatutnya lucu, bila keluar dari mulut saya jadi serius pula bunyinya :D. Menariknya, melalui tulisan sekurang-kurangnya saya boleh berfikir dahulu baik-baik sebelum menulis. Boleh lah saya sampaikan apa yang fikirkan dengan lancar, tidak tersangkut-sangkut.

Sebarang komen membina amatlah saya alu-alukan. Susun atur blog ini juga masih belum kemas, maklum sahaja orang baru, harap maaf. Esok saya perlu membuat pembentangan laporan kemajuan tesis saya dan lusa insya Allah saya akan berkunjung ke Pesta Buku di PWTC. Mungkin selepas itu ada cerita menarik akan menyusul dalam entri seterusnya.

1 comment:

Kay said...

hi kak ida.. best ek entry lama giler... ehehe... anyway selamat berblog... nnti saya tag kan blog kak ida