Monday, April 17, 2006

Meniti Senja



Judul: Meniti Senja
Pengarang: Sawako Ariyoshi
Penterjemah: Thaiyibah Sulaiman
Penerbit: Dewan Bahasa & Pustaka

Untung hidup dalam lingkungan dunia akademik, saya boleh akses buku-buku di perpustakaan bila-bila masa. Boleh juga jumpa buku-buku yang susah hendak didapati di pasaran (ataupun yang tidak mampu dibeli), malah boleh meneliti dahulu dan kalau berkenan boleh beli terus di kedai buku. Contohnya buku bertajuk Meniti Senja ini. Sebelum ini saya pernah meminjam buku bertajuk Kepulangan karangan Osaragi Jiro yang juga diterjemahkan ke bahasa Melayu. Tertarik juga dengan kandungannya. Lalu saya cuba meminjam karya terjemahan yang lain pula. Hasilnya? Meniti Senja memang tidak mengecewakan.

Judul asalnya 'Kokotsu no Hito', diterbitkan pada tahun 1972 dan menjadi bestseller di Jepun ketika itu. Penulisnya Sawako Ariyoshi mengambil masa bertahun-tahun menjalankan penyelidikan dalam menghasilkan buku ini. Secara ringkasnya, cerita ini berkisar tentang cabaran menjaga orang tua. Watak utamanya Akiko merupakan seorang wanita bekerja yang telah berumahtangga dan mempunyai seorang anak lelaki: Satoshi yang bakal mengambil peperiksaan kemasukan ke universiti. Kisah ini bermula apabila ibu mertua Akiko meninggal secara tiba-tiba dan tanggungjawab menjaga bapa mentuanya: Shigezo jatuh ke pundak Akiko. Ironinya, sebelum kematian ibu mertua Akiko, dia dan suami: Nobutoshi telah lama tidak mengendahkan keadaan Shigezo lantaran perangai buruknya yang suka menghina Akiko.

Lebih mengejutkan Akiko dan keluarganya, hanya setelah Shigezo terpaksa tinggal bersama mereka, barulah mereka tahu yang Shigezo sebenarnya telah nyanyuk. Anehnya, Shigezo cuma mengingati Akiko dan cucunya Satoshi meskipun sebelum nyanyuk, dia amat membenci mereka. Nobutoshi, anak sendiri pun tidak dikenali Shigezo hingga beberapa kali Nobutoshi dianggap pencuri yang menceroboh masuk. Hanya Akiko yang bersungguh-sungguh menjaga Shigezo hingga dia kerap bercuti oleh kerana keletihan menjaganya. Suaminya buat lepas tangan, malah Nabutoshi rasa meluat melihat bapanya sendiri dalam keadaan nyanyuk begitu. Sebetulnya, Nobutoshi nampak bayangannya sendiri dalam kelibat bapanya. Dia tidak sanggup memikirkan yang dia juga akan jadi nyanyuk sedemikian.

Hingga satu ketika, anak mereka Satoshi sampai meluahkan, "Mak, ayah.. janganlah hidup selama itu!" Ayat tersebut sangat memberikan kesan kepada mereka berdua hingga mereka mula memberi perhatian lebih tentang maklumat-maklumat berkaitan orang tua dan kenyanyukan. Meski Akiko berasa lelah dan adakala benci menjaga bapa mertuanya, dialah juga yang berasa sunyi dan menitiskan air mata apabila Shigezo akhirnya meninggal dunia.

Buku ini sebenarnya ingin menekankan peri pentingnya mengambil berat kebajikan orang-orang tua kerana generasi muda sekarang juga bakal melalui proses tersebut. Kesan daripada novel ini, masyarakat Jepun kini ada subjek khas di sekolah mengajar pelajar-pelajar tentang penjagaan kebajikan orang tua. Berdasarkan pengalaman peribadi saya sendiri, alhamdulillah saudara-mara dan orang-orang terdekat di sekeliling saya memang menjaga kebajikan ahli-ahli keluarga yang telah tua dan nyanyuk. Tiada yang dihantar ke rumah orang-orang tua.

Yang sangat menarik perhatian saya dalam buku ini ialah betapa terperincinya penulis menggambarkan keadaan orang-orang tua yang nyanyuk contohnya: melarikan diri tiba-tiba dari rumah dan mampu berjalan jauh-jauh tanpa henti, keupayaan makan dalam kuantiti yang sangat banyak, dsb. Teori-teori tentang sebab-musabab kelakuan sedemikian juga dinyatakan. Membaca buku ini ternyata menambah ilmu saya tentang penyakit nyanyuk.

Sedangkan terjemahan sudah cukup menarik, saya fikir karya dalam bahasa asalnya pasti lebih bagus. Alangkah baik kalau saya boleh menguasai bahasa Jepun!

9 comments:

Anonymous said...

Saya dah baca buku ni. Zakiah yang empunya. Memang best dan sangat menyentuh sanubariku. Mungkin sebab dua kali pengalaman keluarga saya pernah meladeni dua orang tua yang uzur (arwah nenek sebelah abah dan arwah atuk sebelah mak). Memang mencabar. Bukan sahaja dari dari pihak pesakit malahan dari masyarakat sekeliling juga. Tapi banyak hikmahnya. Bila baca buku tu teringat semua kenangan2.. huhuhu.. mcm biasa, air mata pun jadi murah..
(p.s- rasa berdebar-debar pulak nubariku ini.. almaklumlah.. pertama kali tulis komen kat budak sastera ni.. cukup sasterakah ayat saya?? kui kui kui..)
-shuhada-

ida_zy said...

wahai shada, lupakah anda bahawa saya adalah budak sains tulen?
mana mungkin saya mengerti sama ada ayat anda sudah cukup sastera ataupun tidak.... hehe

Anonymous said...

uihh.. maaf, hamba jawa yang mudah lupa ;D. Hambalah sebenarnya budak sastera yang kemudian berhijrah ke sains yang tak berapa tulen, kemudian menjadi tak kearah.. hoyeyyy..
-shuhada-

ida_zy said...

future puan melor,
thanks le kerna tlg ambik
gambo kandid itu
sesuai lak buh kat profile ;

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Jika tidak keberatan, saya pelawa ida_zy untuk letakkan ulasan buku ini di dalam komuniti Resensi eSastera.com.

Terima kasih.

Iskandar said...

it's a great novel believe me...i've to learn it in my course International Baccalaureate...

AtikAh said...

yep, definitely a great novel. same with iskandar, I've to learn it in IB

ms. aimiey said...

em..
ade tak sesiapa tahu..
novel ape yng pengjran nye seakan same dengan novel ni?
nilai menjaga orng tua?

Han Hanif said...

Kalau nak jual harga preloved, saya nak beli.